Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan pendedahan yang cukup meruntun jiwa melibatkan para peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dan Freedom Flotilla Coalition (FFC). Difahamkan, misi murni yang bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan itu berakhir dengan pengalaman yang sangat tragis apabila kesemua mereka ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
Lebih menyedihkan, sebaik sahaja selamat tiba di Istanbul malam tadi, para aktivis ini tampil mendedahkan sisi gelap layanan tidak berperikemanusiaan yang diterima sepanjang mereka berada dalam tahanan rejim tersebut.
Dakwaan kecederaan fizikal dan serangan seksual yang amat serius
Seorang peserta dari Malaysia yang juga merupakan CEO kapal terbabit, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir, berkongsi situasi cemas yang berlaku. Menurutnya, sekurang-kurangnya 35 orang tahanan mengalami kecederaan pada bahagian tulang rusuk, manakala lima orang lagi cedera di kepala.
Bukan itu sahaja, yang lebih mengejutkan adalah dakwaan mengenai 12 kes serangan seksual, serta dua tahanan yang mengalami pendarahan mata sehingga menjejaskan penglihatan mereka akibat tindakan ganas pihak berkuasa berkenaan.
Ini (kecederaan) semua berlaku ketika kami membawa misi kemanusiaan.
@talkpalestine
keadaan beberapa aktivis yang di dera issewel
♬ Calculate The Distance – Empire Score
Pengalaman ‘Distopia’ Juliet Lamont: Disuntik Bahan Tidak Diketahui & Dicabul
Ibu kepada dua orang anak berasal dari Australia, Juliet Lamont, mendakwa keganasan yang dilakukan oleh rejim kali ini adalah jauh lebih teruk berbanding misi-misi terdahulu yang pernah disertainya.
Juliet mendakwa dirinya telah diikat dengan tali kabel, disiram air selama hampir sejam sehingga hampir lemas, malah paling tragis, dia telah dicabul secara seksual di sebuah ruang yang disifatkan sebagai ‘bilik seksaan’. Malah, turut disuntik dengan bahan yang tidak diketahui kandungannya.
Keadilan Bakal Dituntut di Peringkat Antarabangsa
Aktivis dari Brazil, Thiago Avila turut sependapat bahawa serangan seksual terhadap peserta misi bukanlah kes terpencil, sebaliknya berlaku secara berleluasa sepanjang tempoh tahanan.
Orang ramai dirogol dalam penjara Globosim. Tentera (Israel) itu mencabuli peserta kami. Ia bukan satu, dua atau tiga kes, tetapi banyak kes keganasan seksual terhadap peserta kami.

Bagi menuntut keadilan, Thiago menyatakan bahawa kesemua peserta kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan yang rapi. Laporan perubatan sedang disediakan bagi tujuan tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, masyarakat dunia sempat menyaksikan sendiri layanan tidak berperikemanusiaan tersebut menerusi rakaman video yang dimuat naik sendiri oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, di aplikasi TikTok.
