Usahawan Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas isterinya, penyanyi Adira Suhaimi.
Menurut Datuk Red, permohonan maaf itu dibuat secara ikhlas selepas menyedari keterlanjuran kata-katanya di media sosial sebelum ini, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
“Saya Adnan Abu. Video ini ditujukan khas kepada bekas isteri saya, Siti Adira Suhaimi dan pihak peguam dia.”
“Permohonan maaf ikhlas daripada saya atas keterlanjuran dalam media sosial secara langsung atau pun tidak. Saya mohon maaf secara ikhlas,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Dalam masa sama, Datuk Red berharap permohonan maaf tersebut dapat menghentikan segala kemelut yang berlaku antara mereka berdua.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk berbincang bersama Adira berhubung urusan anak-anak selepas ini.
“Harap dengan permohonan maaf ini, perbalahan kita ditamatkan.”
“Kita boleh berunding cara macam mana membesar dan menjaga anak dengan haluan masing-masing,” ujarnya.
Sebelum ini, Adira pernah meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan Datuk Red yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk mereka.
Adira mendakwa usahawan itu meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes, selain menggugurkan kes saman sivil berkaitan tuntutan hutang.
Bagaimanapun, Datuk Red menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan dia tidak pernah membuat tawaran sedemikian.
Terdahulu, Datuk Red turut hadir ke program Talk To My Manager 2 dua minggu lalu bagi memberi sokongan kepada anaknya, Anggrek, selain menyatakan hasrat untuk memohon maaf kepada Adira atas kekhilafan yang berlaku di mahkamah semasa prosiding pengesahan rujuk mereka baru-baru ini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
