Walaupun berdepan peningkatan kos operasi, harga bahan mentah dan minyak, selain ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik global, IKEA Malaysia tetap komited menawarkan harga yang mampu milik kepada pelanggan.
Komitmen itu jelas dapat dilihat menerusi jualan karipap ikonik mereka yang terus menjadi antara pilihan ramai.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, berkata harga karipap IKEA hanya meningkat sebanyak 40 sen dalam tempoh 30 tahun, petik Harian Metro.
Ketika mula diperkenalkan, karipap tersebut dijual pada harga RM1 dan kini masih ditawarkan pada harga RM1.40 sahaja.
“Karipap IKEA sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai pelanggan sama ada selepas membeli-belah atau ketika meluangkan masa bersama keluarga dan rakan.”
Selain makanan, IKEA Malaysia turut mengambil langkah menurunkan harga sehingga 2,000 barangan kelengkapan rumah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memilikinya.

Malcolm berkata demikian ketika Majlis Pengiktirafan MBOR bagi kategori ‘Jualan Karipap Terbanyak dalam Setahun’ baru-baru ini.
“Pengiktirafan ini menggambarkan bagaimana makanan mampu menyatukan masyarakat dan mencipta kenangan bersama,” katanya kepada media.
Menurutnya lagi, syarikat memilih untuk tidak menaikkan harga secara agresif kerana hidangan itu sudah menjadi lambang komitmen IKEA terhadap kemampuan harga dan kualiti tanpa membebankan pelanggan.
“Harga bahan mentah dan minyak meningkat selain tekanan faktor geopolitik global, namun kami memilih untuk tidak menaikkan harga secara agresif kerana karipap ini melambangkan komitmen kami terhadap kemampuan harga dan kualiti,” katanya.
Strategi mesra pelanggan itu dilaporkan akan terus dilaksanakan tahun ini bagi memenuhi keperluan masyarakat.
Secara keseluruhannya, pendekatan IKEA Malaysia membuktikan usaha mereka untuk terus menawarkan nilai terbaik kepada rakyat Malaysia menerusi makanan dan produk kelengkapan rumah pada harga yang berpatutan. – HARIAN METRO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
