Netizen mencetuskan pelbagai spekulasi dan turut mempersoalkan kerja jurugambar dan jurusolek yang sangat tidak berkualiti sehingga menjejaskan imej Zur Eda.
Sedar dirinya menerima kecaman teruk, Zur Eda akui pada mulanya beliau merasa amat terkejut melihat foto berkenaan.
Sampai macam itu sekali rupanya gambar saya selepas dirakam. Saya memang terkejut. Realitinya, solekan itu kalau dilihat secara depan-depan tidaklah seteruk seperti yang dalam foto itu. Saya tahu ramai yang bercakap mengenai hal itu. Perkara yang negatif, memang orang suka tengok. Maklumlah zaman sekarang semua teknologi di hujung jari. Semua benda boleh tersebar sekelip mata sahaja dengan internet. Mungkin mereka berasa puas (mengutuk) tanpa fikir dosa dan pahala.
Dosa antara Tuhan, mungkin boleh dimaafkan, tetapi kadang-kadang kita terlupa dosa sesama manusia ini lah yang perlu dipandang serius. Jika orang yang dikutuk dan dihina itu tidak memaafkan, tunggulah di akhirat sana.
Namun, Zur Eda tidak mahu terlalu memikirkan hal berkenaan dan tidak terasa hati atas apa yang berlaku.
Saya fikir positif sahaja. Mungkin dengan apa yang terjadi ini, secara tidak langsung ramai lagi yang semakin mengenali saya dan dapat menaikkan nama sendiri.
Apatah lagi saya sekarang sedang bertanding dalam program realiti. Saya tidak terasa hati mahupun tertekan dengan perkara ini.
Kalau terlalu fikirkan percakapan orang ia kadang-kadang boleh buat kita terlalu tertekan. Biarlah mereka mengata, apa yang penting kena selalu berfikiran positif.