Pasangan yang baru menimang cahaya mata pertama pasti mempunyai nama pilihan mereka tersendiri untuk anak dan pilihan itu sudah pasti sudah difikirkan untuk waktu yang lama.
Bagaimanapun, lain pula cerita pasangan suami isteri ini apabila pilihan nama Luth Hadyen yang diberi untuk anaknya ditentang oleh ahli keluarga lain.
Enggan bertelagah terlalu lama dengan orang sekeliling, pasangan itu membuat pilihan untuk meletakkan ‘Muhammad’ di hadapan nama anak lelaki mereka itu ketika wanita itu masih dalam tempoh berpantang.
Pilih nama Luth Hayden sempena nama Nabi Luth. Tapi ramai tak setuju nama Luth memandangkan kaum Nabi Luth yang dikaitkan dengan amalan songsang.
Namun, kerana rimas perlu menulis nama anak lelakinya itu terlalu panjang, dia dan suami mengambil keputusan untuk tukar nama anaknya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Biarpun di platform TikTok perkongsiannya itu diterima baik, tetapi apabila kisah itu telah tular di Instagram dan Facebook, ramai yang mempersoalkan tindakan wanita itu serta suami membuang perkataan ‘Muhammad’ pada pangkal nama anaknya.
Tidak menghiraukan pertikaian orang ramai, wanita terbabit menasihati ibu bapa diluar sana untuk membuat keputusan sendiri apabila berkaitan dengan anak-anak dan tidak perlu mendengar kata orang luar.
Sehingga kini, video yang dikongsikan oleh ibu kepada cahaya mata lelaki itu telah meraih lebih 100,000 tontonan daripada warganet.