Kelahiran seorang bayi perempuan pada 23 Oktober yang lepas membongkarkan perbuatan keji seorang lelaki terhadap wanita orang kelainan upaya.
Itulah yang berlaku di Sungai Petani apabila wanita OKU lembam itu didakwa telah dirogol suami kepada sepupunya sehingga menyebabkannya hamil.
Difahamkan, bayi yang dilahirkan itu bagaimanapun meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada Sabtu akibat masalah jantung dan saluran pernafasan sempit.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, mangsa berusia 32 tahun itu mengalami masalah pembelajaran dan disyaki diperkosa oleh suspek berusia 45 tahun.
Bukan itu sahaja, suspek dikatakan turut mengugut mangsa agar tidak melaporkan perbuatan terkutuknya itu kepada sesiapa.
Mangsa yang tidak bekerja itu terpaksa mendiamkan diri walaupun dirogol sebanyak lebih lima kali kerana mendakwa diugut bunuh oleh suspek.”
Jelas Zaidy, kesemua kejadian didakwa berlaku di sebuah kediaman yang didiami mangsa bersama bapa, adik perempuan serta adik iparnya.
Terdahulu, perbuatan keji lelaki itu akhirnya terbongkar selepas mangsa mengadu sakit perut dan dibawa ke hospital untuk dirawat pada 23 Oktober.
Dia kemudian melahirkan seorang bayi perempuan pada jam 4.37 petang namun terpaksa dirawat di hospital kerana mengalami masalah kesihatan.
Malangnya, bayi itu tidak dapat bertahan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, kelmarin.
Suspek dilaporkan telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.