Seorang pengguna Threads berkongsi mengenai kebun sayur miliknya di Kg Kubang, Nilai yang kini menarik perhatian ramai warganet.
Menerusi perkongsian tersebut, kebun berkenaan mula diusahakan sejak April tahun lalu dengan fokus sepenuhnya, bukan sekadar hobi.
Menurutnya, idea untuk mengusahakan kebun tercetus selepas melihat konflik luar negara yang melibatkan sumber makanan, sekali gus mendorongnya untuk lebih berdikari dalam penghasilan makanan sendiri.

Kebun seluas 1.5 ekar itu menempatkan pelbagai jenis sayur dan ulam-ulaman seperti timun, labu air, kacang panjang, bendi serta sayur maman.
Menariknya, kebun tersebut dibuka kepada orang ramai tanpa sebarang bayaran masuk.
“Masuk tak perlu bayar apa-apa, ia percuma sahaja. Cuma bayar harga sayur yang dibeli sahaja,” katanya.
Pengunjung juga boleh merasai pengalaman memetik sendiri sayur segar terus dari kebun, satu pengalaman yang jarang diperoleh terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Selain itu, harga yang ditawarkan juga lebih berpatutan berbanding pasaran, di samping menjamin kesegaran hasil tanaman.
“Kadang-kadang sayur di pasaraya kecil tu sayur lama, jadi bila beli di kebun, pembeli boleh menikmati sayuran segar,” katanya lagi.
Antara harga yang ditawarkan termasuk kacang panjang RM4.50/kg, bendi RM5/kg, timun RM2.50/kg, sayur maman RM10/kg dan labu air RM2/kg.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan sayur segar, malah membuka peluang kepada orang ramai untuk lebih menghargai proses penanaman makanan secara dekat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
