Sebuah video yang dikongsi di media sosial Facebook baru-baru ini mencetuskan rasa bimbang dalam kalangan netizen apabila sedutan rakaman CCTV itu memaparkan cubaan menculik kanak-kanak di perkarangan rumah.
Menerusi video tersebut, cubaan menculik itu bermula apabila dua orang lelaki bermotosikal dilihat mundar mandir di kawasan perumahan tersebut.
Terlihat juga dua orang kanak-kanak sedang bermain di perkarangan rumah dengan pintu pagar yang tidak ditutup rapat dan tidak dikunci.
Pada mulanya, dua orang lelaki itu memberhentikan motosikal di hadapan rumah tersebut dan berpura-pura bertanyakan sesuatu kepada seorang wanita yang dipercayai penjaga kanak-kanak tersebut.
Setelah wanita itu masuk ke dalam rumah, kedua orang lelaki itu memerhatikan kedua-dua budak perempuan itu sebelum melakukan cubaan memecah masuk melalui pintu pagar yang tidak berkunci itu.
Namun, cubaan itu gagal apabila wanita itu kembali ke halaman rumah dan dengan pantas menarik kedua-dua kanak-kanak terbabit daripada diculik individu tersebut.
Tindakan pantas tersebut telah berjaya menyelamatkan nasib kanak-kanak itu daripada menjadi mangsa culik dan mungkin juga pemerdagangan manusia.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa risau dan terkejut dengan cubaan berani manusia tidak bertanggungjawab yang seolah-olah sudah tidak takut dan semakin berani melakukan jenayah secara terang-terangan.
Ada juga yang memberi pesanan agar sentiasa mengunci pagar atau pintu rumah dan sentiasa mengawasi anak-anak meskipun hanya berada di kawasan rumah untuk bermain.