Sejak kebelakangan ini banyak kes melibatkan eskalator khususnya di pusat beli-belah menimbulkan tanda tanya tentang keselamatan kemudahan itu.
Mengalami perkara yang sama, wanita ini berkongsi detik cemas apabila seliparnya tersepit ketika sedang menuruni eskalator di pusat beli belah Alor Setar.
Walaubagaimanapun, wanita tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku.
Menurut laporan mStar, wanita yang hanya mahu disapa sebagai Maryam berkata bahawa insiden itu berlaku pada Selasa lalu ketika dia dan rakannya pergi ke pusat membeli-belah untuk mencari hadiah untuk pensyarah mereka.
Setelah selesai, mereka pun mahu beransur pulang memandangkan sudah pukul 10 malam dan semasa turun menggunakan eskalator kaki kanan tidak boleh melangkah kerana selipar tiba-tiba tersepit di celah antara platform dan eskalator.
Selain itu, dia juga cuba menarik selipar keluar tetapi gagal dan disebabkan cemas dia terus melangkah berkaki ayam kerana tidak mahu menghalang orang dibelakangnya turun.
Maryam juga sempat memuat naik video menunjukkan seliparnya yang habis ‘ditelan’ eskalator.
Susulan kejadian itu, Maryam menyatakan insiden berkenaan membuatkannya lebih berhati-hati semasa menggunakan eskalator pada masa akan datang.