Pelawak lagenda, Ilya Buang atau lebih dikenali sebagai Pak Ya sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan peminat program komedi tempatan.
Pak Ya yang memulakan karier seninya menerusi program Sinaran Pasport Kegemilangan terus bersinar apabila menyertai kumpulan sitkom senario dan masih aktif menghiasi layar TV bersama-sama kumpulan Sepahtu kini.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai sebuah video yang memaparkan Pak Ya dilihat duduk bersama seorang lelaki yang mempunyai wajah seiras dengan dirinya di sebuah warung.
Difahamkan, lelaki berkenaan adalah kembar kepada Pak Ya yang bernama Sharkawi Shaharum.
Ramai sebenarnya tidak mengetahui pelawak itu mempunyai kembar seiras. Bukan sahaja rupa yang sama, malah suara mereka juga.
Meninjau ruangan komen, kembar Pak Ya adalah seorang pendidik dan juga merupakan seorang pengetua di sebuah sekolah menengah di Perak.
Berikutan itu, ramai netizen meluahkan rasa teruja dengan kewujudan kembar pelawak itu selain berseloroh jika Pak Ya pernah bertukar tempat dengan abangnya itu kerana pastinya ramai yang tidak menyedari gara-gara sama rupa paras dan suara!