Baru-baru ini tular di aplikasi Twitter, seorang pengguna yang mendedahkan beberapa video memaparkan sebuah restoran yang agak terkenal di Kuala Lumpur berada dalam keadaan kotor.
Menerusi perkongsian video yang dipercayai milik pekerja restoran tersebut, restoran berkenaan telah mengabaikan kebersihan di dapur termasuk melenyek kentang menggunakan botol.
Video berdurasi 21 saat itu memaparkan pekerja restoran menggunakan air di dalam bekas kotor dan merenjis ke dalam kuali.
Lebih menggelikan, ayam yang telah digoreng diletakkan di atas dapur memasak tanpa beralaskan pinggan dan dibiarkan terdedah tidak bertutup.
Malah, pekerja yang memasak juga dilihat tidak memakai apron mahupun hairnet ketika memasak. Lantai di restoran itu juga basah dan terdapat pekerja yang membuat kerja di atas lantai.
Diorang kata dekat komen ni dekat HR Steak House Kg. Baru. ? korang pernah pergi? pic.twitter.com/d85xUmCpKq
— 10K (@antaintiom) January 25, 2022
Meninjau di ruangan balas ciapan tersebut, rata-rata netizen turut berasa geli kerana restoran tersebut selalu dikunjung ramai dan boleh dikatakan tumpuan orang ramai apabila ke ibu kota.
“Ini sudah melanggar etika penyediaan makanan. Tolonglah tutup restoran ini,” tulis seorang pengguna Twitter.
“Kembang tekak lepas tengok. Hairan juga sebab setiap malam ramai orang datang, siap kena beratur,” tulis seorang lagi warganet.