Kala ini, penggunaan dashcam di kenderaan seolah menjadi satu kemestian pemilik kenderaan kerana ia dapat membantu pengguna jika terlibat dalam kemalangan terutamanya dari segi pengumpulan bukti dan sebagainya.
Sebagai contoh, kecoh di media sosial Facebook apabila seorang wanita yang sedang melintas jalan dilihat ‘berpura-pura’ terjatuh akibat dilanggar kenderaan dengan tujuan menipu.
Dalam video yang dirakam menggunakan dashcam itu, kelihatan seorang wanita berbaju kuning yang berkelakuan pelik dan tiba-tiba sahaja berlakon seperti terjatuh meskipun kereta masih lagi jauh dari individu itu.
Wanita itu kemudian bangun dan menuju ke kereta sebelum menendang kenderaan yang dipandu mangsa itu sebelum berlalu pergi.
Menurut netizen di ruangan komen, ramai yang pernah terserempak dengan wanita itu di sekitar Jalan Changkat.
Ada juga yang berpendapat bahawa wanita ini mengalami masalah mental dan sering saja mabuk.
Sehubungan dengan itu, warga maya menasihatkan mereka yang mempunyai kenderaan agar mempertimbangkan untuk memasang dashcam di kereta masing-masing kerana ramai yang menjalankan sindiket penipuan seperti insiden tersebut.