Pelakon Uyaina Arshad memaklumkan yang dia dapat meneroka watak mencabar dalam karier lakonannya apabila diberi peluang membawa watak gadis bertudung tetapi terlibat dengan masalah sosial seperti seks luar nikah.
Uyaina memberitahu yang watak lakonannya dalam filem Siapa Tutup Lampu? itu merupakan simbolik kepada isu masalah sosial yang secara realitinya turut berlaku di dunia.
Watak Azie yang saya lakonkan adalah seorang gadis bertudung, sopan dan baik hati. Namun, ada sisi kasarnya dan dia juga ada hubungan sulit dengan rakan karib tunangnya sendiri.
Menurut Uyaina, sikap seseorang individu itu tidak boleh dihakimi hanya berdasarkan penampilan luarannya sahaja kerana tidak semestinya yang bertutup itu jahat dan begitu juga sebaliknya.
Tambah Uyaina, watak Azie tersebut juga diubah sedikit berbanding naskhah asalnya yang dipentaskan dalam bentuk teater.
Jika hendak diikutkan dalam naskhah asal, Azie adalah watak seorang pelajar kolej tetapi terdapat sedikit perubahan memandangkan dalam filem tersebut kolej atau universiti yang menjadi lokasi utama adalah benar-benar wujud.
Disebabkan itu, Azie ditukar kepada watak wanita sudah bekerja kerana pihak produksi tidak mahu masalah sosial yang dipaparkan berlaku kepada Azie, mencerminkan atau disalah erti dan dikaitkan dengan universiti tersebut.
Sekadar info, filem Siapa Tutup Lampu? tersebut turut dibintangi Azizul Ammar, Naim Daniel, Azhar Jalil, Ismi Melinda dan ramai lagi.