Pelawak dan penyampai radio, Shahrol Shiro bakal memulakan satu lagi langkah baharu dalam kerjayanya apabila diberi kepercayaan untuk menjadi tenaga pengajar sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 42, bakal mengendalikan Kursus Seni Lakon yang memberi tumpuan kepada bidang ‘stand-up comedy’ di bawah Kursus Citra Universiti bagi sesi 2026/2027.
Menerusi perkongsian di Instagram, Shahrol meluahkan rasa teruja selepas menerima tawaran berkenaan. Menurutnya, dunia komedi bukan sekadar mengenai kebolehan membuat orang ketawa, malah turut memerlukan keberanian, keyakinan serta kemahiran komunikasi yang baik.
Shahrol turut berpandangan bahawa kemahiran untuk berdiri di hadapan khalayak dan menyampaikan sesuatu mesej dengan berkesan menjadi antara elemen penting dalam bidang komedi.
Dalam hantaran sama, Shahrol turut memuat naik surat tawaran daripada pihak UKM sebagai tanda keterujaannya untuk memulakan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar.
Bagaimanapun, berita pelantikannya itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang mempersoalkan kelayakan akademik Shahrol untuk mengajar di institusi pengajian tinggi berkenaan.
Susulan persoalan tersebut, pihak UKM tampil menjelaskan bahawa pelantikan Shahrol dibuat berdasarkan pengalaman luasnya sebagai pengamal dalam industri seni.
“Shahrol Shiro dilantik sebagai pengajar sambilan Kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon yang mengkhususkan kepada ‘stand-up comedy’ di UKM.”
Menurut UKM, Kursus Citra tersebut bertujuan memberi pendedahan serta pengalaman kepada pelajar dalam bidang seni persembahan, termasuk aspek asas lakonan dan persembahan.
“Kursus Citra UKM (Seni Lakon) adalah kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan serta persembahan.”
Dalam kenyataan sama, UKM turut mengesahkan Shahrol dilantik sebagai tenaga pengajar sambilan Citra Universiti di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC).
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
