Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa menterinya, Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Facebook beliau, imej berkenaan disahkan sebagai palsu dan hasil manipulasi digital yang berpotensi mengelirukan orang ramai.

“Kenyataan tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam kerana YB Menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.
Susulan penyebaran imej tersebut, pihak pejabat turut memaklumkan bahawa laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Tindakan lanjut akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran kandungan palsu ini,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan agar tidak mudah mempercayai maklumat yang belum disahkan serta mengelakkan daripada menyebarkan kandungan tidak benar yang boleh mencetuskan kekeliruan.
Terdahulu, tular satu imej memaparkan Mohamad Sabu bersama tanaman ganja dengan dakwaan beliau menggalakkan penjawat awam menanam bahan terlarang tersebut susulan konflik di Asia Barat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
