Umum mengetahui figura geopolitik terkenal, Osama Bin Laden telah dilaporkan terbunuh setelah diserang pasukan Tentera Laut Amerika Syarikat di perkarangan tempat tinggalnya dekat Islamabad, Pakistan pada 2 Mei tahun 2011 yang lalu.
Pemburuan Osama Bin Laden selama 10 tahun telah menjadikan dia sebagai senarai orang yang paling dikehendaki pihak Federal Bureau of Investigation (FBI) meskipun telah meninggal dunia.
Berikutan itu, cara pengebumian pengasas kumpulan Al- Qaeda ini telah menjadi pertikaian agensi-agensi kerajaan USA pada ketika itu yang ditadbir oleh bekas Presidennya iaitu Barack Obama.
Amerika Syarikat pada ketika itu dikehendaki untuk menentukan bagaimana cara mayat orang buruan mereka itu harus dikebumikan kerana negara asal kelahiran Osama, Arab Saudi dilaporkan tidak mahu ‘menerima’ mayat tersebut kembali ke negara mereka.
Pelbagai kaedah telah dipertimbangkan seperti pembakaran mayat namun ia tidak dilakukan kerana dilarang sama sekali dalam agama Islam.
Mengapa mayat Osama Bin Laden tidak ditanam seperti orang Islam biasa?
Difahamkan, pengebumian di dalam tanah seperti kebiasaannya tidak dapat dilakukan kerana boleh menjurus kepada kemunculan lokasi ‘tempat suci pengganas’ serta lokasi ritual-ritual dan tempat pemujaan individu yang tidak bertanggungjawab.
Akhirnya ‘disemadikan’ di dalam laut
Oleh itu, kerajaan Amerika Syarikat mengambil keputusan untuk mengebumikan Osama Bin Laden di dalam laut agar tiada pihak mahupun individu dapat mencari dan menemui mayatnya.
Dalam tempoh 24 jam selepas kematian figura terkenal itu, mayat Osama segera dibawa ke kapal USS Carl Vinson dan dikendalikan dengan cara Islam seperti dimandikan, dikafankan dan dilakukan upacara keagamaan yang lain oleh penterjemah bahasa Arab yang dibawa khas oleh kerajaan AS untuk tujuan itu.
Dilaporkan jenazah Osama telah diletakkan di dalam beg pemberat sebelum dimasukkan ke atas papan kayu lalu ditolak ke dalam laut, kira-kira 12 jam selepas dia dibunuh.