Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan bahawa orang ramai khususnya ibu bapa yang sering meninggalkan anak-anak sendirian di dalam kereta tanpa sebarang pengawasan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun.
Maklum MKN, kecuaian mereka yang meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan adalah satu kesalah di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Perkara tersebut telah dimuat naik MKN menerusi sebuah hantaran di Facebook, hari ini.
Jika disabitkan kesalahan, akan didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Menjengah ke ruangan komen, perlaksanaan undang-undang tersebut telah menerima respon yang pelbagai daripada pengguna media sosial.
Ada sesetengah individu merasakan hukuman itu terlalu berat kerana cabaran tersendiri yang perlu dilalui mereka dalam menjalani hidup seharian.
“Bukan sahaja dalam kereta, dalam rumah pun sama, saya tinggal di flat, masalah selalu timbul apabila suami kerja, hanya tinggal saya dan anak-anak kecil, jadi bila ada Food Panda datang, terpaksa tinggalkan mereka untuk turun.” komen seorang netizen.
Namun ada juga yang bersetuju kerana menganggap tindakan meninggalkan anak-anak seorang diri tanpa pengawasan adalah sangat bahaya kerana kanak-kanak mungkin terdedah dengan aktiviti penculikan dan sebagainya.