Setelah lebih 100 hari pemergian Allahyarham Siti Sarah, Shuib berkata dia tidak pernah merasa isterinya itu telah tiada di dunia namun mengakui dirinya perlu menerima hakikat yang arwah memang sudah pergi menghadap Ilahi.
Ujarnya, dia harus menerima hakikat bahawa isteri tercintanya itu sudah tiada meskipun kadangkala terasa seperti arwah masih berada di sampingnya.
Hari ini (kelmarin) cukup 121 hari pemergian dia. Sebenarnya tidak rasa pun macam dia tiada tetapi perlu terima hakikat bahawa arwah sudah pergi.
Akui Shuib, dia terasa sedikit kekok dan janggal apabila melakukan sesuatu aktiviti atau pergi ke sesebuah lokasi kerana sebelum ini sentiasa ditemani arwah Siti Sarah.
Meskipun begitu, pemilik nama Shahmira Muhamad ini tetap menzahirkan rasa syukur kerana Allah S.W.T tidak pernah berhenti memberi rezeki buat dia dan keluarga.
Sememangnya Allah S.W.T Maha Baik, walaupun Dia buat kita melalui perkara yang tidak okey tetapi jika difikir semula, sudah banyak yang Dia beri.
Dia berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan untuk sebuah program temubual yang dihoskan oleh pelakon Ummi Nazeera.
Terdahulu, media hiburan tempatan dikejutkan dengan pemergian Siti Sarah,37, pada tanggal 9 Ogos lalu akibat dijangkiti COVID-19.