Tiada hujan tiada ribut, kisah penceraian pelakon jelita Siti Saleha ternyata mengejutkan peminat aktres itu berikutan tiada kontroversi membabitkan rumah tangganya dicanang kepada umum sebelum ini.
Difahamkan, punca Siti Saleha menuntut cerai adalah disebabkan faktor tiada persefahaman antara dia dan suami, Ahmad Lutfi Azhar.
Perkara tersebut dimaklumkan peguam yang mewakili pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu iaitu Azmi Mohd Rais ketika ditemui sebuah portal berita di Mahkamah Rendah Syariah Klang, hari ini.
Siti Saleha dilihat hadir bersama peguam dan juga ahli keluarganya bagi prosiding mendengar laporan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) berhubung kes tuntutan penceraian namun ditunda pada 17 Januari tahun hadapan.
Aktres itu yang berpakaian baju kurung hitam dilihat memasuki mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Ujar Azmi lagi, prosiding itu ditangguhkan kerana defendan (Ahmad Lutfi) dan wakilnya gagal hadir untuk prosiding bersama JKP.
Berikutan itu, JKP akan diadakan sekali lagi sebelum 17 Januari dan hakim akan membacakan laporan itu sama ada menilai perintah shiqaq perlu dikeluarkan dan seterusnya perlantikan hakam.
Sekadar info, Siti Saleha dan suami telah mendirikan rumah tangga pada 28 Julai 2017. Setelah empat tahun berkahwin, pasangan ini belum dikurniakan sebarang cahaya mata.