Penyanyi Sufian Suhaimi menafikan dakwaan beliau sengaja menjaja kisah putus tunangnya bersama Elfira Loy dan menjelaskan setiap kenyataan yang dikeluarkan hanya untuk menjawab persoalan yang ditanya oleh pihak media sahaja.
Saya memang tiada niat nak bercerita tentang kes putus tunang ini, saya hanya menjawab persoalan yang diajukan oleh media. Sebolehnya saya tidak mahu lagi bercerita tentang perkara ini kerana ia sudah berakhir. Jadi, selepas ini saya mohon kepada rakan media dan semuanya tidak bertanya lagi tentang isu ini.
Pada masa yang sama, Sufian turut menafikan beliau cuba meraih publisiti dan simpati ramai dengan isu putus tunang untuk mempromosikan lagu terbarunya.
Seperti yang saya kata dahulu, lagu ini telah dicipta pada tahun lalu ketika saya masih bergelar tunangan orang. Netizen yang mengaitkan kononnya lagu ini ada kaitan dengan apa yang berlaku sedangkan ia hanyalah kebetulan.
Sufian bagaimanapun dengan rendah hati memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan beliau sebelum ini. Bertabahlah Sufian, bunga bukan sekuntum, satu hari nanti pasti anda akan bertemu dengan wanita yang lebih sesuai buat anda.