Semalam sebutan semula kes penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman menyaksikan sebuah momen hiba apabila anak perempuannya, Malaika,14, dilihat turut hadir sama ke mahkamah.
Perkara tersebut turut dikongsikan ahli keluarga Yasin di Instagram rasmi penyanyi berkenaan di mana mereka turut memaklumkan bahawa laporan kimia sudah pun selesai dan sebutan kes akan berlangsung pada 6 Julai depan.
Malaika dilihat gembira bertemu bapanya itu meskipun untuk seketika sekaligus mencetuskan perasaan hiba dalam kalangan netizen dan peminat yang melihatnya.
Menjengah ke ruangan komen, peminat meluahkan rasa terharu dan turut bersyukur kerana kedua-duanya dapat dipertemukan bagi mengubat rindu antara bapa dan anak.
“Alhamdulillah terubat rindu anak dan bapa” komen seorang netizen.
Terdahulu, Muhammad Yasin telah didakwa di Mahkamah Majistret pada 31 Mac lalu atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis ganja dengan anggaran berat sebanyak 214 gram di rumahnya.
Berikutan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.