Berita baik untuk pengguna bank yang terjejas akibat banjir apabila sebahagian sektor perbankan telah mula mengumumkan pelbagai bantuan buat pelanggan yang terkesan dengan bencana alam itu.
Antara bantuan yang diberikan bank-bank tersebut akan meliputi individu dan juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Berikut adalah senarai bank dan juga bantuan yang diberikan kepada pelanggan terjejas banjir.
1. Affin Bank Berhad (Affin Bank) dan Affin islamic Bank Berhad (Affin Islamic Bank)
Tawaran bantuan Moratorium sehingga enam bulan di bawah inisiatif yang dikenali sebagai Program Bantuan Kewangan dan Bantuan Ansuran (FAIR). Ianya merangkumi penstrukturan dan penjadualan semual pembiayaaan yang akan dinilai berdasarkan kes demi kes.
Pelanggan terjejas boleh membuat permohonan untuk program ini mulai 22 Disember 2021.
2. Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
BIMB menyediakan Bantuan Prihatin Banjir di mana pelanggan boleh memohon bantuan kewangan untuk tempoh sehingga enam bulan terhadap komitmen bulanan mereka, tertakluk kepada terma dan syarat.
BIMB tidak akan mengenakan sebarang bayaran bagi penggantian kad ATM dan debit serta buku cek yang rosak atau hilang.
3. Ambank Group
Tawaran moratorium sehingga enam bulan untuk semua kemudahan pinjaman dan pembiayaan termasuk kemudahan kad kredit, tanpa caj lewat atau penalti dikenakan sepanjang tempoh moratorium.
Pelanggan yang ingin menggantikan buku simpanan, buku cek, sijil simpanan tetap, ATM, kad kredit dan debit akan dikecualikan daripada semua caj sampingan dan penggantian.
Selain itu, bank-bank lain seperti Maybank, OCBC Bank, OCBC Al-Amin Berhad, Public Bank dan Public Islamic Bank serta Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank turut mengumumkan langkah yang sama bagi meringankan beban beban pelanggan yang terkesan dengan bencana alam itu.
Pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi cawangan bank masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut.