Menepati ramalan, pentas akhir program nyanyian Gegar Vaganza musim ke-8 bakal menyaksikan bintang seperti Aweera, Nikki Palikat, Aliff Aziz, Adibah Noor, Suki Low dan juga Azan Scan berentap bagi merebut gelaran juara pada minggu hadapan.
Dalam konsert separuh akhir yang berlangsung malam tadi, bintang Ani Mayuni dan juga Shidee terpaksa mengucapkan selamat tinggal kerana mendapat markah terendah berbanding peserta yang lain.
Jelas juri tetap GV8, Datuk Ramli MS, penyingkiran dua peserta tersebut sebenarnya sudah dijangka jika dilihat dari taraf persembahan masing-masing dari minggu ke minggu.
Mereka tersingkir dan memang sudah dijangka memandangkan persembahan kedua-duanya tidak begitu bagus berbanding peserta lain.
Aweera pula sememangnya layak mendapat tempat pertama malam ini kerana telah memberikan persembahan yang sangat hebat berbanding sebelum ini.
Kata maestro muzik terkenal itu lagi, musim kali ini merupakan sebuah musim yang sukar untuk mencari juara dan menganggap sesiapa sahaja boleh menjadi yang pertama pada minggu akhir asalkan persembahan yang diberikan hebat dan memukau.
Difahamkan, minggu akhir GV8 akan menyaksikan semua peserta diberi tugasan untuk mendendangkan tiga buah lagu iaitu lagu solo, duet dengan penyanyi jemputan dan berentap bersama peserta yang lain.