Sebelum ini, filem La Luna menjadi perdebatan sesetengah pihak kerana didakwa membawa agenda ‘liberal’ dan tidak sesuai dipertontonkan kepada masyarakat yang majoritinya beragama Islam.
Meskipun La Luna mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen, filem itu telah mencatatkan tontonan yang agak tinggi di siaran tontonan berbayar Netflix setelah ia ditayangkan kepada umum.
Terbaru, salah seorang daripada pelakon filem tersebut, Nam Ron yang memegang watak Ayob ada memuat naik satu hantaran ‘mengusik’ di laman Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, Nam Ron menunjukkan salah satu pembukaan kedai pakaian dalam wanita di negeri Perlis.
Dia kemudiannya menulis kapsyen berseloroh “Tak tahu pula Perlis dah liberal sekarang, Oppss”
Difahamkan, ia merujuk kepada plot filem La Luna yang turut membawa situasi yang sama iaitu pembukaan kedai baju dalam wanita di sebuah kampung terpencil.
Hantaran tersebut kemudiannya menuai pelbagai respon dalam kalangan warga maya yang rata-ratanya mendakwa Nam Ron sengaja ‘memerli’ situasi melibatkan filem La Luna yang tengah hangat diperkatakan kini.