Penyanyi dan komposer terkenal, M. Nasir menegaskan dirinya tidak mengetahui mengenai perkara tular di media sosial yang mengaitkan namanya dengan komen balas terhadap netizen dan pempengaruh.
Menurut M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 69, dia tidak begitu mengikuti perkembangan di media sosial.
“Apa? Saya aktif di media sosial? Dekat mana? Yang mana satu?”
“Saya tak berapa ikut sangat la. Saya tak tahu,” katanya.
Apabila ditanya sekiranya benar dia tidak mengetahui perkara tersebut, siapa pula yang membalas soalan serta komen daripada netizen, M. Nasir memberikan jawapan ringkas.
“Tak tahu. Mungkin penyamar,” balasnya.
Terdahulu, kemunculan penyanyi yang cukup dikenali dengan gelaran sifu itu di media sosial terutama di Threads mencuri perhatian ramai.
Antara yang paling menjadi perhatian ialah komen balas yang dikaitkan dengan M. Nasir terhadap seorang pempengaruh media sosial dikenali sebagai DMA Islam.
Pempengaruh tersebut sebelum ini menyamakan anak seni dengan anak bodoh.
Susulan itu, akaun yang dikaitkan dengan M. Nasir dilihat membalas kenyataan berkenaan dengan menulis ‘baik anak sains’.
Komen balas tersebut kemudian meraih lebih 23,000 tanda suka, ratusan komen serta hampir 2,000 ulang siar.
Malah, ada juga netizen yang berseloroh menggelarnya sebagai ketua baharu Threads menggantikan Kamal Adli.
Dalam perkembangan lain, M. Nasir bakal menghiburkan peminat menerusi Konsert Cipta 4 yang dijadual berlangsung pada 4 Julai 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
