Seperti yang kita tahu, banyak premis perniagaan sudah kembali beroperasi sekarang ini termasuklah pusat hiburan. Ia susulan kebenaran diberikan kerajaan untuk membuka semula premis perniagaan namun individu yang ingin memasuki premis tersebut perlulah lengkap dua dos suntikan vaksin.
Namun, operasi premis perniagaan perlu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya penularan wabak pandemik Covid-19 dapat dibendung sekaligus mengurangkan kes jangkitan daripada berlaku.
Menurut laporan KOSMO, seramai 45 orang individu yang terdiri daripada pelanggan dan pekerja dikompaun RM67,500 akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan hari ini.
45 Individu tersebut dikompaun ketika serbuan polis ke sebuah pusat hiburan di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya hari.
Seronok betul berhibur ye, ingat Covid-19 dah tiada ke? https://t.co/AkRXxwsIMt
— Kosmo! Online (@kosmo_online) October 15, 2021
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah telah membuat serbuan ke pusat hiburan tersebut pada pukul 4 pagi.
Serbuan dibuat berdasarkan maklumat bahawa premis tersebut telah beroperasi melebihi masa yang dibenarkan dan ketika serbuan pihak polis dapati enam lelaki tempatan sedang bekerja sebagai pelayan.
Tambah Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood lagi, lima wanita warganegara asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) pula sedang berhibur bersama pelanggan yang terdiri daripada 16 lelaki dan 18 wanita tempatan di dalam empat buah bilik karaoke yang berasingan.
Kesemua pekerja dan pelanggan yang diperiksa di pusat hiburan tersebut adalah berumur dalam lingkungan 19 hingga 70 tahun.
Hasil saringan ujian air kencing ke atas pekerja dan pelanggan di premis tersebut mendapati dua lelaki tempatan dan seorang wanita asing disahkan positif dadah jenis amphetamine, tetrahydrocannabinol dan ketamin.
Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kesemua pekerja dan pelanggan telah dikenakan kompaun berjumlah RM67,500 iaitu sebanyak RM1,500 setiap seorang.
Ia susulan kesalahan di bawah peraturan 17 peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (no. 3) 2021 kerana mereka semua gagal memastikan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak.
Selain itu, seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus premis juga ditahan untuk tindakan lanjut kerana disyaki telah menggaji pekerja asing tanpa permit manakala lima wanita asing tersebut turut ditahan kerana disyaki telah bekerja tanpa permit yang sah.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara