Isteri Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam mengarahkan agar kes kematian bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri yang berusia 15 bulan untuk disiasat semula kerana berasa ragu-ragu dengan kes tersebut.
Hasrat Che’ Puan Khaleeda turut disuarakan di media sosial Instagram miliknya, semalam.
Che’ Puan Khaleeda dalam hantaran tersebut ada memuat naik foto kecederaan yang dialami arwah Nour Rania yang pada awalnya dikongsi oleh bapa mangsa, Yuseri Yusoff.
Beliau turut meletakkan tanda pagar #justiceforbabysyifaa serta menyertakan sekali Instagram Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Selain itu, Che’ Puan Khaleeda ada menzahirkan pandangannya mengenai kecederaan bayi yang dianggap beliau sebagai tidak masuk akal.
Dan lagi satu kawan saya ‘pointed out’ kesan di leher itu nipis. Kalau betul dijerut dengan buai, bukankah ia akan menunjukkan kesan yang lebih tebal? Tak pernah saya tengok buai yang bertali nipis.
Beliau kemudiannya berkongsi lagi mengenai persoalan si bapa yang bertanyakan bagaimana seseorang boleh melakukan tindakan zalim seperti itu terhadap seorang kanak-kanak yang tidak berdaya.
Terdahulu, pihak polis telah mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia setelah dibawa oleh pengasuh ke klinik untuk rawatan.
Manakala hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban memaklumkan punca kematian bayi tersebut adalah disebabkan oleh tekanan kuat pada leher.