Baru-baru ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri telah menerangkan tentang hukum berkaitan isu suami yang tidak bekerja dan menjadi suri rumah.
Menurut laporan Utusan, Datuk Seri Dr. Zulkifli menjelaskan bahawa hukum bagi suami yang menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredhai oleh isterinya.
Menurutnya lagi, jika isteri meredainya maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan.
Malah, Dr. Zulkifli berkata tindakan seorang isteri membantu keluarga adalah satu tindakan terpuji dan pengorbanan yang wajib diterima kasih oleh suami.
Isteri juga hendaklah bersyukur kerana masih mempunyai suami yang baik sekalipun dia diuji tanpa pekerjaan. Ini kerana, ada juga yang dapat suami bukan dalam kalangan yang baik.
Justeru itu, hendaklah isteri bersabar dalam situasi seperti ini dan sentiasa berbincang dengan penuh harmoni antara suami isteri.
Dalam pada itu, Dr. Zulkifli menasihatkan para suami supaya hendaklah sentiasa berusaha dan mencuba untuk mencari pekerjaan dalam menafkahkan isteri serta keluarganya.
Banyakkan berdoa kepada Allah semoga dimurahkan rezeki seperti banyakkan istighfar, qiamullail, sedekah dan membantu mereka yang memerlukan.
Berdasarkan dalil-dalil al-Quran, Dr. Zulkifli turut menjelaskan bahawa adalah wajib bagi suami untuk berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap kepada pendapatan isteri.