Kebaikan yang sering dipaparkan oleh pempegaruh Hafiz Mahamad sering kali mendapat perhatian netizen dan rata-ratanya selalu terharu melihat lelaki terbabit tidak lokek dengan pekerja-pekerjanya.
Kali ini, sekali lagi nama Hafiz menjadi perhatian selepas tular video dirinya membantu salah seorang staf lelaki dengan memberi wang tunai sebanyak RM10,000.
Difahamkan, usahawan tersebut mahu membantu staf terbabit kerana kini dia sedang mengumpul duit kahwin tetapi masih belum cukup untuk menghalalkan kekasih hati.
Bahkan, Hafiz ketahui staf lelakinya itu sampai ikat perut mahu mencukupkan tabung simpanan untuk berkahwin.
Bagaimanapun, influencer tersebut turut meletak syarat sewaktu memberi duit tersebut iaitu staf lelaki tersebut perlu sentiasa menghargai pasangannya jika sudah berkahwin nanti.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen berasa ‘cemburu’ serta terharu melihat kebaikan Hafiz kepada pekerjanya.