Penyanyi bersuara lunak, Imran Ajmain memaklumkan bahawa dia pernah ditawarkan untuk menyertai program realiti hiburan terkenal iaitu Gegar Vaganza (GV) namun terpaksa menolaknya atas beberapa faktor.
Kata Imran, dia merasakan dirinya sudah tidak berminat dengan sebarang persaingan dan merasa tidak layak untuk berentap di pentas berprestij itu.
Jelas penyanyi lagu Seribu Tahun ini lagi, ramai yang memberitahu bahawa dia sepatutnya masuk program GV untuk musim ke-8 kerana berasakan dirinya lebih layak berbanding peserta-peserta yang lain.
Saya pernah ditawarkan untuk menyertai GV awal lagi tapi saya rasa team produksi GV tahu apa yang dia mahukan, sebab bila saya kata saya tak layak, mereka tak push saya.
Tambah penyanyi yang kini berusia 40 tahun ini, dia mungkin akan berasa tertekan akibat tekanan melampau selain keresahan melampau kerana tidak biasa akan ‘dunia yang berlumba-lumba’.
“Jadi untuk meletakkan diri dalam situasi diri saya dicabar, diminta menyanyikan pelbagai lagu, saya tak layak untuk berada di tempat itu.” ujar Imran.
Namun begitu, Imran walau bagaimanapun tetap teruja dan tertunggu-tunggu setiap kali program tersebut ke udara dan sentiasa akan cuba menghadiri konsert-konsert mingguan untuk memberi semangat kepada rakan artis yang bertanding.