Penyanyi lelaki popular era 90-an yang didakwa tidak membayar tunggakan sewa rumah didiaminya itu dikatakan tidak boleh dibawa berbincang.
Kata tuan rumah, Liza Mohamad 46, penyanyi tersebut tidak membayar sewa rumah sebanyak RM900 dan tertunggak dari Jun sehingga September.
Bukan itu sahaja, dia juga tidak pernah membayar bil elektrik rumah sewa di Setapak Indah itu yang kini sudah hampir mencecah RM7,000.
Jelas Liza lagi, penyanyi itu dan isterinya mula tinggal di situ sejak Oktober 2020 selepas kisahnya tular dan mendapat bantuan daripada Pusat Pengutan Zakat (PPZ) menerusi ejen yang membantu ketika itu.
Saya pula kebetulan memang nak sewakan rumah dan bersetuju dengan kontrak sewa di antara kami yang tamat sepenuhnya pada September lalu.
Namun, meskipun kontrak sewa sudah tamat selebriti tersebut masih tidak mahu keluar dari rumahnya malah buat tidak tahu sahaja apabila diminta keluar dari rumah itu.
Keluarkan parang bila diajak berbincang
Malah, kata Liza sehingga kini sebanyak empat laporan polis telah dibuat terhadap penyanyi berkenaan namun masalah itu masih belum dapat diselesaikan.
Dia seorang yang tidak boleh dibawa berbincang. Dia keluar dengan parang sewaktu saya datang ke rumah itu untuk berbincang.
Disebabkan penyanyi tersebut tidak membayar sewa, Liza kini berdepan masalah kewangan kerana perlu mengeluarkan duit untuk mendapatkan semula rumah peninggalan arwah suaminya itu.
“Saya nak dia keluar dari rumah itu”
Ujarnya lagi, sebelum ini pihak PPZ dan Baitulmal membantu membayarkan sewa rumah terbabit sejak Oktober 2020 sehingga September tahun lalu.
Liza turut merayu agar pihak PPZ dan Baitulmal tampil membantunya kerana dia mahu tinggal di rumah tersebut bersama tiga anaknya.
Saya harap sangat ada pihak bantu saya sebab saya nak dia keluar dari rumah itu. Saya nak ambil khidmat guaman saya tidak mampu.
Tambah Liza, dia bersedia menyelesaikan masalah tersebut dengan penyanyi itu secara baik di luar mahkamah tetapi perlu mengikut aturan undang-undang yang ditetapkan.