July 7th, 2014

Sebenarnya Abang Nara tertanya-tanya juga satu persoalan yang sama ketika membaca artikel mengenai Sham Kamikaze oleh bekas isterinya, Farazila di BiPop semalam. Sham sebelum ini menafikan yang dirinya sudah berkahwin lain sedangkan pada ketika itu memang benar-benar dia sudah berkahwin. Adakah apabila penafian sebegitu dilakukan, talak boleh terjatuh? Rasanya perlu ada alim ulama yang tampil untuk menjelaskan perkara ini untuk mengelakkan selebriti-selebriti membuat penafian perkahwinan mereka.

farazila

Apa yang lebih menarik mengenai pengakuan bekas isteri Sham Kamikaze, Farazila semalam ialah kewujudan cakera keras (CD) yang mengandungi bukti kecurangan bekas suaminya itu. Bukan satu bukan dua, tetapi 5 cakera keras. Kesemuanya itu kini dalam simpanan polis. Kata Farazila:-

Sham melafazkan talak kepada saya pada jam 7 malam, 1 September 2011 bersamaan 3 Syawal. Puncanya berkaitan dengan sikap mata kerajangnya. Bukan saja dikaitkan dengan Nurul Halimin, tetapi dia juga bersama wanita lain yang berhijrah ketika itu.

Bagaimanapun Sham datang merujuk secara perbuatan di rumah keluarga saya di Batu Pahat, Johor selepas 15 hari melafazkan cerai. Saya terpaksa akur dan duduk kembali bersamanya di kediaman di USJ, Subang, sehinggalah saya ingin memfailkan penceraian pada Ogos 2012 apabila menjumpai bukti cakera keras yang merakamkan kecurangan bekas suami itu. Lima cakera keras itu kini berada di simpanan pihak polis.

Maknanya saya masih isterinya ketika dia berkahwin secara senyap-senyap dengan Nurul Halimin. Saya dan Sham bercerai kerana saya tahu kecurangannya. Saya tahu apa yang saya katakan ini akan menjadi bahan kritikan penyokong Sham. Saya tidak peduli kerana saya tahu penyokongnya masih buta hati.

Saya sudah beri amaran, jangan kaitkan nama saya lagi. Selama ini sudah lama saya berdiam dan sabar apabila kenyataan saya dianggap fitnah dan tuduhan liar, sedangkan Sham tahu apa yang dilakukan.

sham kamikaz

Daripada apa yang Abang Nara baca, Farazila tampil memberikan kenyataan sebegini untuk memberitahu orang ramai sikap sebenar Sham Kamikaze yang berselindung di sebalik imej alimnya. Agak menarik juga sebenarnya kerana penipuan yang dilakukan oleh Sham bagi Farazila tidak melayakkan dirinya diangkat sebagai pendakwah. Kata Farazila lagi:-

Apakah hukumnya apabila seorang suami menafikan perkahwinannya? Bukankah sudah jatuh talak apabila menafikan perkahwinan secara terang-terangan? Adakah dengan kenyataan ini orang di luar masih mengatakan saya membuat tohmahan dan dakwaan liar. Kenapa sekarang Sham berani memutar belit kenyataan mengatakan dia berkahwin kali kedua dan bukannya berkahwin dua, sedangkan ketika berkahwin, saya masih isterinya!!

Di sini saya berharap orang luar dapat membuat pertimbangan sendiri. Layakkan manusia sebegini diangkat sebagai pendakwah sedangkan beliau suka berbohong? Saya pelik sebagai seorang penceramah yang sibuk membetulkan kesalahan orang sana sini, tidakkah Sham tahu rukun pernikahan sehingga melantik orang yang tidak bertauliah.

Sekiranya anda tidak tahu, baru-baru ini perkahwinan Sham Kamikaze dengan isteri barunya telah dianggap tidak sah oleh mahkamah dan mereka perlu berkahwin semula. Apa pun pendapat Farazila ini ada benarnya jugak. Namun Abang Nara pasti, Sham lebih tahu apa yang dilakukan oleh dirinya sendiri. Diharap Sham tidak menipu diri sendiri dan tidak menipu masyarakat. Tak gitu? Apa pendapat anda?

September 27th, 2012

Ini sememangnya agak pelik tetapi itulah kenyataannya. Kalau anda masih ingat, isteri Sham Kamikaze, Farazila telah menfailkan permohonan cerai akhir bulan Ogos yang lepas. Namun hari ini (Khamis), Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam telah mengesahkan yang mereka bukan lagi suami isteri sejak 1 September 2011.

sham kamikaze dan isteri cerai

Sham Kamikaze dan Farazila yang hadir ke mahkamah untuk kes permohonan cerai telah diberitahu yang tindakan rujuk yang dilakukan oleh pasangan tersebut secara perbuatan selepas 15 hari lafaz cerai dibuat adalah tidak sah mengikut mazhab Syafie. Sham telah melafazkan cerai terhadap isterinya 7 malam, 1 September 2011 dan kembali rujuk dengan perbuatan pada 16 September 2011.

sham kamizake

Berikut ialah penerangan daripada Hakim Syarie Atras Mohammad Zin:-

Walaupun rujuk secara perbuatan itu tidak salah dari segi hukum tetapi defendan harus melihat ia mengikut konteks undang-undang dan mazhab yang diguna pakai di negara ini. Defendan sepatutnya merujuk perkara berkenaan kepada mahkamah syariah untuk memutuskan perkara itu sebagai sah atau pun tidak. Dengan ini mahkamah mengesahkan pihak defendan dan plaintif sah bercerai kali pertama pada tarikh tersebut dan rujuk perbuatan yang dibuat adalah tidak sah.

Farazila melahirkan rasa kelegaannya kerana kes penceraiannya ini telah selesai sementara Sham Kamikaze pula berkata yang di redha dengan ketentuan Allah terhadap keputusan mahkamah dan enggan mengulas mengenai punca keretakan rumah tangganya. Info asal Mstar Online.

September 3rd, 2012

Pagi hari ini, kita dikejutkan dengan permohonan cerai yang telah difailkan oleh isteri Sham Kamikaze, Farazila Abdul Jabar. Tidak lama selepas itu, Sham Kamikaze menerusi Facebook rasminya telah pun meminta peminatnya agar bersabar dan menunggu kenyataan rasmi daripadanya.

sham kamikaze

Selain itu Sham Kamikaze juga turut berharap agar tidak ada pihak yang membuat spekulasi dan tohmahan tentang rumahtangganya. Sham juga turut meminta peminatnya mendoakan yang terbaik.

sham kamikaze

Abang Nara rasa Sham Kamikaze perlu segera membuat kenyataan rasmi berkaitan dengan isu penceraian ini untuk cepat-cepat menjelaskan apa yang telah berlaku. Apa pun sama-samalah kita doakan agar Sham dan isterinya dapat segera menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secepat mungkin. Semoga keputusan yang diambil memberi kebaikan kepada semua pihak.