February 27th, 2019

Pelakon Janna Nick sebelum ini tidak dapat menahan sebaknya dan menangis memohon kemaafan daripada Sheila Rusly atas salah faham yang berlaku sehingga menjejaskan hubungan akrab mereka berdua.

Dalam kenyataan terbaru hari ini, penerbit itu memberitahu beliau sudah lama memaafkan anak didiknya itu tetapi agak sukar untuk melupakan apa yang Janna lakukan pada diri dan keluarganya.

Alhamdulillah dia dah sedar atas kesilapan dia. Saya dah maafkan tapi bagi saya masa untuk hadam apa yang dia dah buat pada saya dan keluarga.

Apa yang terjadi terlalu peribadi untuk dikongsikan dan Sheila memberitahu ia tiada kaitan dengan pembikinan drama Leftenan Zana ataupun sekadar gimik untuk melariskan lagi drama tersebut.

Terdahulu, krisis antara Sheila dan Janna mula tercetus apabila penerbit itu dikatakan memuat naik kenyataan berbaur sindiran yang dipercayai ditujukan kepada Janna dan seakan mengatakan pelakon itu tidak mengenang jasanya. Hubungan mereka dikatakan lebih retak dan dingin selepas Sheila tidak lagi mengikuti Janna di Instagram.

Sumber Berita : mStar Online

February 27th, 2019

Umum mengetahui hubungan antara pelakon Janna Nick dan produser Sheila Rusly sebelum ini sangat rapat dan Sheila juga sudah menganggap Janna seperti anaknya sendiri. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini timbul dakwaan mengatakan hubungan mereka berdua retak.

Ada yang mengatakan isu ini timbul selepas Sheila ada memuat naik status menyindir Janna seakan tidak mengenang jasa.

Terbaru, Janna telah membuat permohonan maaf scara terbuka kepada Sheila dan berharap agar hubungan akrab antara mereka akan pulih semula.

Saya banyak terhutang budi kepada mereka yang memberi tunjuk ajar sejak mula berkecimpung dalam bidang seni. Tanda hormat kepada peranan mereka selama ini, saya membuat permohonan maaf secara terbuka. Saya berharap hubungan yang keruh kembali jernih.

Sejujurnya, saya sendiri kurang pasti mana silapnya. Oleh itu, saya memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan. Sekiranya permohonan maaf secara terbuka ini tidak diterima oleh pihak di sana, apa yang boleh saya lakukan selepas ini adalah memohon ampun daripada Allah.

Kalau boleh Janna tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dan sudah cuba untuk memohon maaf melalui mesej peribadi sebelum ini tetapi tidak dibalas oleh Sheila. Harapnya mereka berdua kembali berdamai dan tidak perlu bermasam muka lama-lama, cubalah untuk bertemu empat mata agar dapat menyelesaikan segala masalah.

Sumber Berita : BH ONLINE

June 20th, 2017

Hubungan akrab yang terjalin antara pelakon Janna Nick bersama keluarga penerbit, Sheila Rusly mengundang rasa cemburu sesetengah pihak sehingga ada yang menuduh Janna mempunyai kepentingan sendiri agar senang mendapat tawaran lakonan.

Tidak cepat melatah dengan tuduhan sebegitu, Janna menjelaskan beliau ikhlas akrab dengan keluarga Sheila dan hubungan mereka sudah seperti seorang ibu dan anak.

Saya baik dengan kak Sheila bukan atas dasar menagih tawaran berlakon. Pembabitan saya dengan JS Pictures pun tidaklah banyak. Bahkan jadual berlakon saya dengan produksi lain sangat padat. Keakraban kami hanyalah seperti saudara serta ibu dan anak.

Pada masa yang sama, Janna turut menolak dakwaan dirinya serasi jika dijodohkan dengan anak sulung Sheila iaitu Uzair Haqimy yang lebih muda daripadanya dan baru sahaja berusia 21 tahun.

Saya sudah anggap mereka seperti adik sendiri dan tiada apa-apa perasaan, tetapi andai dikatakan takdir dan ketentuan jodoh saya tidak boleh elak. Mana tahu suatu hari akan berlaku begitu, tapi buat masa sekarang inilah yang boleh saya katakan.

Tidak dinafikan Sheila  menganggap Janna seperti anaknya dan hubungan mereka berdua juga memang akrab. Apa-apa pun, tidak semua orang bersifat mementingkan diri dan hanya berbaik dengan seseorang kerana ingin mendapatkan sesuatu. Harapnya dengan penjelasan Janna ini, tiada lagi pihak yang membuat tuduhan tentang hubungan beliau dan keluarga Sheila.

Sumber Berita : Harian Metro