December 28th, 2017

Kontroversi Iqram Dinzly yang berkelakuan pelik turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri yang ingin menawarkan bantuan buat Iqram menerusi satu surat terbuka yang dikongsikan di akaun Facebooknya.  Iqram dinasihatkan untuk banyak membaca Al –Quran selain mendekatkan diri dengan Allah SWT. Zulkifli juga berharap Iqram tidak terlalu memikirkan komen netizen yang memberikan tekanan kepada beliau.

Dr Zulkifli juga mahu mengenali Iqram dengan lebih dekat dan menjemput aktor itu hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk berbincang tentang masalah yang dihadapinya sekarang.

Sudah mengetahui tentang surat terbuka ataupun pelawaan mufti , Iqram telah memberikan respon terhadap perkara tersebut menerusi akaun Instagramnya. Iqram bagaimanapun tidak mahu berjumpa dengan Dr Zulkifli di Kuala Lumpur sebaliknya mengajak beliau ke rumahnya untuk sesi tersebut.

Iqram tidak mahu meninggalkan ibunya yang kini masih dalam tempoh edah selepas pemergian suami tercinta. Pada masa yang sama, Iqram mengucapkan terima kasih kepada Dr Zulkifli atas keperihatinan beliau.

Harapnya akan terjadilah pertemuan antara mereka berdua. Semuanya untuk kebaikan Iqram juga. Masih ramai lagi peminat yang menyayangi beliau dan mahu Iqram kembali tenang seperti dahulu.

December 25th, 2017

Memuat naik video serta foto berkelakuan pelik sehingga namanya menjadi trending di Twitter serta dikecam netizen yang mengatakan beliau sudah tidak waras, pelakon Iqram Dinzly akui ia adalah salah satu cara beliau “menggadai diri” untuk meraih publisiti serta melakukan gimik awal demi mempromosikan perniagaan baru beliau dibawah jenama Bawaabata Merebucks.

Lebih sedekad dalam industri hiburan, saya akur jika kita berbuat baik tiada siapa yang akan ambil peduli. Tetapi apabila sesekali berkelakuan aneh, mereka akan berterusan memperkatakannya hingga mencetuskan kontroversi. Mungkin ada yang melihat cara saya ini sebagai pemberontakan, tetapi saya ada sebab tersendiri mengapa berbuat demikian.

Saya perlu melakukan anjakan dengan niat untuk memperkenalkan perniagaan merangkumi fesyen dan seni dengan lebih jauh. Cara netizen mengadili saya seolah-olah mereka terlalu suci dan sempurna. Alang-alang menyakitkan hati, lebih baik saya teruskan. Lagipun, apa yang saya buat ini hanya sementara nanti saya akan berhenti.

Ditanya tentang tindakan beliau yang membalas komen-komen negatif netizen dengan perkataan kesat, Iqram berkata beliau hanya mencerminkan mentaliti masyarakat hari ini. Dalam erti kata lain, Iqram mahu masyarakat sedar perbuatan itu tidak elok dan apa rasanya sekiranya mereka juga dikecam.

Jika benar ia hanya gimik semata-mata kami mahu tepuk tangan kerana ia memang menjadi sehingga ada yang mempercayai Iqram mempunyai kemurungan yang teruk. Apa-apa pun, janganlah sampai terlalu “menjiwai” watak untuk gimik tersebut kerana mungkin juga ia akan memakan diri tanpa anda sedar.

Sumber Berita : BH ONLINE