Written by Bella | March 23rd, 2016

Bila kami baca kenyataan Mia Sara di portal BH ONLINE, memang ada timbul sedikit rasa kagum. Ini kerana, kanak-kanak seperti Mia boleh meminta agar pihak produksi lebih menghormati pelakon yang berhijab dan tidak menuntut mereka untuk melakukan perkara yang tidak sesuai dengan imej mereka.

Tidak wajar meletakkan seluruh kesalahan kepada pelakon apabila mereka terpaksa membuka tudung untuk menjayakan sesuatu watak. Pada pandangan saya, orang yang menyebabkan mereka bertindak demikian juga patut dipersalahkan.

Dalam hal ini, saya berharap produksi bersikap lebih terbuka dan menerima pelakon bertudung seadanya. Jangan ubah penampilan mereka apabila sudah menetapkan pendirian untuk berhijab.

Tambah Mia, beliau berharap juga pelakon berhijab tidak terlalu lemah dan menuruti setiap arahan meskipun mereka tidak selesa. Kata Mia, bertudung kerana Allah SWT dan bukan untuk memuaskan hati orang lain.

Kita bertudung kerana Allah dan bukan untuk memuaskan hati orang lain. Jadi kenapa perlu kita mengikut cakap mereka? Saya bertudung atas kerelaan diri dan ia datang dari hati. Apabila usia semakin meningkat, saya jadi tidak selesa apabila terpaksa membuka aurat.

Siapa sangka seorang kanak-kanak boleh mempunyai fikiran yang jauh seperti ini dan berani menyuarakan pendapatnya. Ermm..

Sumber Berita : BH ONLINE

 

Written by Bella | January 28th, 2016

Bukan sahaja artis wanita dewasa yang kurang mendapat tawaran lakonan selepas berhijab tetapi pelakon kanak-kanak Mia Sara turut menerima nasib yang sama.

Mia akui semakin hari tawaran lakonan semakin berkurangan tetapi beliau sama sekali tidak gentar dan sudah bersiap sedia dengan apa yang bakal berlaku selepas membuat keputusan untuk bertudung apabila pulang daripada menunaikan umrah Disember tahun lalu.

Mia yakin Allah SWT pasti akan membuka pintu rezeki yang lain buat dirinya nanti.

Tawaran lakonan semakin kurang dan saya faham mengapa saya tidak diambil berlakon. Tidak mengapa kerana Allah akan memberi rezeki lain kepada saya nanti.

Malah saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang mungkin berlaku selepas saya membuat keputusan mahu bertudung.

Meskipun kurang tawaran berlakon, Mia tetap merasa syukur apabila perniagaan tudung dengan jenamanya sendiri iaitu MS Couture yang dijual secara online mendapat sambutan yang agak baik. Bukan itu sahaja, sejak beliau berhijab Mia kini tidak lagi dibuli ketika di sekolah mahupun dikritik oleh pengikut di Instagram.

Walaupun kurang tawaran, rezeki saya lebih kepada hasil jualan tudung menerusi label milik saya iaitu MS Couture secara online. Selain itu saya juga dapat memberi fokus penuh pada pelajaran.

Saya bersyukur, perubahan yang saya lakukan ini memberi banyak kebaikan pada diri saya. Kawan-kawan tidak mengganggu atau mengutuk saya lagi. Sebaliknya mereka memuji saya. Malah pada hari pertama saya ke sekolah memakai tudung, saya diserbu kawan-kawan pula.

Pengikut-pengikut di Instagram pun sama. Mereka tidak lagi mengkritik saya sembarangan. Alhamdulillah, saya ambil setiap perkara ini secara positif.

Bak kata Mia, satu pintu rezeki tertutup tetapi beberapa lagi pintu rezeki yang lain bakal terbuka buat beliau. Apa yang penting buatlah sesuatu dengan ikhlas dan pasti setiap perkara yang kita lakukan akan lebih berkat. Cuma kecewa juga dengan industri lakonan Malaysia yang mendiskriminasi mereka yang sudah berhijab.

Sumber Berita: mStar Online