March 23rd, 2017

Filem Kimchi Untuk Awak belum lagi ditayangkan, namun ia dihimpit  kontroversi apabila ada babak romantik antara pelakon utamanya, Aiman Hakim Ridza dan Emma Maembong menimbulkan rasa kurang senang netizen. Adegan berpelukan dan babak intim lain di anggap tidak sesuai buat Emma sebagai wanita berhijab juga Aiman sebagai seorang lelaki Muslim.

Berbicara mengenai isu panas ini, Aiman sebenarnya berharap agar penonton bersikap lebih terbuka dan sepatutnya lebih fokus kepada jalan cerita filem berkenaan. Buat Aiman, babak romantik mereka tidaklah melampau sehingga boleh menimbulkan nafsu dan keghairahan.

Kita kena hentikan memberi fokus kepada isu berpegangan atau babak romantik sebaliknya menghargai sesebuah filem itu dengan cara sepatutnya. Sebenarnya babak romantik yang dipaparkan pun tidaklah keterlaluan dan bagi saya ia tidak mendatangkan syahwat pun. Paling penting jalan ceritanya bagus dan ada pengajaran yang hendak disampaikan.

Ditanya mengapa beliau tidak menolak untuk melakukan adegan itu, Aiman menjelaskan beliau menghormati setiap jalan cerita seperti yang dikehendaki oleh pengarah.

Saya tidak boleh berpura-pura atau menjadi hipokrit dan apa yang saya lakukan dan tonjolkan dalam filem ini adalah kerana keikhlasan hati saya sebagai pelakon. Saya melihatnya dari sudut seni selain menghormati skrip dan apa yang dipaparkan itu hanyalah lakonan dan tidak berlebih-lebihan pun.

Filem pun belum keluar lagi, jadi apa kata kita lihat dahulu jalan ceritanya bagaimana. Kemudian barulah kita tentukan adakah adegan Aiman dan Emma itu melampau ataupun sebaliknya. Biasalah tu, kadang-kadang aksi romantik mungkin cara pengarah untuk menarik minat penonton. Heh..

Sumber Berita : mStar Online

March 13th, 2017

Bukan mudah untuk seorang pelakon wanita bertudung seperti Emma Maembong  untuk mengelak ataupun tidak mahu melakonkan adegan bersentuhan dengan pelakon lelaki lain kerana umum mengetahui kebanyakkan pelakon harus mematuhi kehendak pengarah dan jalan cerita sesebuah drama ataupun filem.

Bakal muncul dengan filem Kimchi Untuk Awak tidak lama lagi, Emma akui beliau sudah bersedia untuk menerima segala kritikan apabila ada babak dimana beliau berpelukan dan berpegangan tangan bersama hero filem tersebut, Aiman Hakim Ridza. Emma tidak akan melenting kerana apa yang beliau lakukan itu adalah atas kehendaknya sendiri.

Saya bersedia terima nasihat atau kritikan penonton yang menganggap lakonan saya itu bertentangan dengan imej saya sebagai wanita berhijab. Saya sendiri akui ia memang salah, namun saya enggan komen tentang perkara itu kerana ia biarlah antara saya dengan tuhan sahaja.

Penonton tidak tahu bagaimana saya cuba mengelakkan adegan-adegan seperti itu dalam setiap lakonan saya, tapi dalam keadaan tertentu saya akui gagal berbuat demikian.

Saya tidak salahkan siapa-siapa dalam hal ini kerana pilihan memang ditangan saya sama ada saya mahu buat atau tidak. Cukuplah saya katakan sebagai manusia biasa saya akan cuba belajar menjadi lebih baik.

Kadang-kadang kita tidak tahu situasi yang dihadapi oleh sesetengah pelakon wanita berhijab di set penggambaran. Harapnya Emma akan tabah dengan segala kritikan yang bakal beliau terima nanti.

Sumber Berita : mStar Online