Malaysia terkenal sebagai syurga makanan, sebagai rakyat, kita semestinya ada bakat dalam soal makanan. Lebih-lebih lagi kita dibesarkan dengan pelbagai jenis makanan sejak kecil, jadi citarasa sebagai warga negara ini pun dipupuk dari awal.
Ramai yang menjadi kaki makan sejati, atau foodie. Ada yang memulakan vlog atau akaun Instagram makan-makan sendiri, cari pendapatan sampingan dengan menjual kek dan pencuci mulut dan bermacam lagi hanya dengan kecintaan terhadap makanan.
Kami nak kongsikan kisah seorang foodie yang bermula dengan kecintaan pada makanan yang memberi idea mengasaskan syarikat makanan sendiri. Sedikit demi sedikit, syarikatnya itu menjadi pengeluar dan pengeksport dan mendominasi pasaran makanan paratha.
Tapi siapa sebenarnya pengasas syarikat ini? Pengasas Kawan Food, Gan Thiam Chai bersama isterinya Kwan Sok Kay mengasaskan syarikat bersama sebelum disertai Gan Thiam Hock (Pengarah Jualan Kawan Food) yang membantu dalam urusan jualan.
Bagi mereka yang tinggal atau melancong ke luar negara tapi teringin merasa juadah seperti di tanah air, makanan sejuk beku Kawan Food pasti menjadi pilihan. Ada macam-macam pilihan produk di bawah jenama termasuk Kawan, KG Pastry, Passion Bake, Veat dan Aman.
Antaranya roti canai (atau juga dikenali sebagai paratha), Chapatti, Popia, Pau, Bebola Tepung Pulut, Piza, Lasagna, dan banyak lagi pilihan. Sukakan roti canai yang rangup di luar dan lembut di dalam tapi selalu malas keluar? Masakkan sahaja Kawan Malabar Roti di dalam peti sejuk bila-bila masa pun boleh nikmati. Senang dan sedap!
Perniagaan keluarga menjadikan makanan Malaysia terkenal serata dunia
Diasaskan lebih 40 tahun dulu, Kawan Food melalui perit getir sebelum menempa nama seperti hari ini. Hanya bermula sebagai perniagaan keluarga yang sederhana, siapa sangka jenama ini boleh berjaya seperti yang dilihat sekarang.
Pada tahun 1960-an, ibu bapa pengasas Kawan Food, Gan Thiam Chai menjual Pau dan Kuih. Gan Thiam Chai sebagai anak sulung memberi idea untuk meluaskan pasaran dan mencapai lebih ramai pelanggan ketika itu.
Selepas tamat sekolah menengah, Gan Thiam Chai bekerja sebagai pembantu juruteknik di sebuah syarikat dari Jerman yang banyak mengajarnya mengenai ilmu mekanikal. Kelebihan ini juga memberi ruang untuk Kawan Food berevolusi dari penghasilan manual kepada penghasilan menggunakan mesin.
Percubaan pertama Gan Thiam Chai bermula dengan penjualan Kulit Popia. Pada 1976, Kawan Food, atau dulunya dikenali sebagai Kian Guan Trading Co secara rasminya membekalkan kuih-muih tradisional kepada kedai runcit dan pasar raya tempatan. Nama syarikat diambil sempena nama Kian Guan yang merupakan nama timangan Gan ketika dia kecil.
Kemelesetan ekonomi pada pertengahan 80-an memberi tamparan hebat kepada Gan Thiam Chai. Namun, dari situlah segalanya membuka lembaran baru. Menyedari pasaran tempatan kurang memberi impak kepada perniagaan, dia membuat keputusan mengembangkan sayap ke luar negara.
Apa yang menjadi cabaran besar adalah bagaimana untuk memastikan kesegaran produk makanan sepanjang perjalanan ke luar negara. Bagi memastikan produk berkualiti tinggi dan selamat, Gan Thiam Chai menyingkirkan bahan pengawet dan perasa tiruan sejak awal lagi. Kemudian, dia mendapat ilham dengan menjadikan produk dibekukan untuk ketahanan lebih lama.
Sejak itu, Kian Guan Trading Co ditukarkan namanya kepada Kawan Food dan membekalkan makanan citarasa Malaysia untuk pasaran luar negara.
Roti canai (Paratha) jadi pilihan pelanggan luar Malaysia
Ramai yang hairan kenapa Gan Thiam Chai seorang berbangsa Cina memilih roti canai sebagai produk dalam perniagaannya. Rupanya, produk roti canai kurang saingan di luar negara kerana tidak semua orang boleh membuatnya. Selain itu, makanan Cina juga telah mempunyai banyak syarikat pesaing ketika itu.
Sebab itulah roti canai Kawan Food menjadi produk paling popular. Gan Thiam Chai pernah berfikir roti hasil buatannya tidak akan diterima pasaran selepas 3 tahun. Siapa sangka, sehingga hari ini, roti canai Kawan masih menjadi pilihan ramai. Memang sedap! Korang dah try?
Keenakan dalam setiap keping roti canai Kawan ini terbukti dengan setiap tahun, 100 juta roti canai terjual! Roti canai Kawan Food adalah produk utama dieksport yang meliputi 50% jumlah eksport kumpulan.
Produk sejuk beku Kawan termasuk roti canaimencapai populariti di negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ini kerana ianya mudah disediakan, beraroma dan enak. Contohnya untuk restoran makanan Asia yang membeli roti canai secara pukal untuk disajikan kepada pelanggan.
Bagi memberi nafas baru, pek roti canai Kawan Food melalui proses pembaharuan tapi masih mengekalkan resepi yang masih sama. Jadi jangan risau, keenakannya masih seperti dulu!
Selain daripada Roti Canai, Kawan Food turut menghasilkan lebih 70 produk lain seperti Chapatti, Kulit Popia, Pau, Bebola Tepung Pulut, Kulit Puff Pastri dan bermacam lagi.
Setelah perniagaan berkembang maju, Kawan Food menambah kilang baru di Shah Alam, Selangor dan telah memenangi pelbagai anugerah kecemerlangan dalam kategori standard penghasilan makanan. Kawan Food telah disenaraikan secara rasmi di papan kedua Bursa Malaysia pada 2005. Selain itu, kilang-kilang telah dibuka di Nantong, China.
Jadi pilihan ketika PKP
Makanan sejuk beku menjadi pilihan popular ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu. Ini kerana ianya lebih mudah disediakan, selesa dan senang untuk menyajikan makanan enak tanpa perlu keluar rumah.
Selain di pasar raya dan kedai runcit, Kawan Food juga boleh dibeli menerusi laman web bagi memudahkan pelanggan. Buktinya, jualan ketika PKP meningkat dengan signifikan.
Sebagai tanda keprihatinan, Kawan Food telah mendermakan produk mereka kepada bank makanan tempatan dan badan kebajikan ketika pandemik bagi membantu mereka yang memerlukan.
Selain itu, mereka juga membiayai proses disinfeksi kuman di sekolah-sekolah dan rumah kebajikan untuk membantu mencegah penularan wabak berkenaan.
Inovasi makanan untuk cipta lebih banyak makanan Malaysia
Sehingga hari ini Gan Thiam Chai masih aktif dalam menjalankan kajian bagi memberi kepuasan kepada pelanggan. Sebelum ini dia akan meletakkan makanan di depan kanak-kanak untuk melihat adakah mereka akan makan. Biasalah, kata orang, kanak-kanak tidak menipu! Hari ini, cucu-cucunya mengambil tugas untuk sesi kajian ini.
Katanya, Kawan Food menggalakkan inovasi dan kreativiti untuk setiap staf mereka. Dengan jumlah produk yang banyak, mereka sentiasa bekerja keras untuk mencipta produk baru dan memperbaik kualiti produk setiap masa.
Gan Thiam Chai juga turut mengumumkan produk baru Kawan bagi pengguna yang mengamalkan diet vegetarian. Dia juga berharap untuk mencipta lebih banyak juadah berasaskan etnik di Malaysia untuk lebih ramai peminat makanan di luar negara mengenali negara kita.
Jom sama-sama kita tonton perjalanan kisah permulaan Kawan Food sebelum mencipta nama besar dalam industri makanan tempatan dan antarabangsa seperti hari ini.
Lawati laman web, Facebook, Instagram dan Youtube Kawan Food untuk maklumat lanjut dan info terkini jenama ini.