Rasanya sudah diketahui ramai apabila sang suami akan menjadi penyara utama untuk sesebuah keluarga dan tugasnya perlu mencari nafkah agar dapat memberi makan minum serta tempat tinggal yang selesa buat keluarganya.
Maka tidak hairanlah jika seseorang suami berasa tertekan apabila melibatkan topik masalah kewangan kerana isteri serta anak-anak bergantung kepadanya.
Walaupun begitu, satu kajian dari Public Health Malaysia menunjukkan sang suami akan berasa kurang ‘stress’ jika isteri bekerja dan pendapatan mereka dikongsikan bersama.
Akan tetapi, menerusi kajian tersebut, ia turut menunjukkan sang suami akan berasa tertekan jika sumber kewangan isteri lebih banyak ataupun sama rata dengan mereka.
Bagaimanapun, perkongsian itu telah mendapat pelbagai respon yang negatif dari warganet yang berpendapat tidak semua suami akan berasa tertekan jika gaji isteri lebih tinggi daripada mereka.
Dalam pada masa yang sama, ada juga yang berfikiran positif jika pendapatan isteri lebih tinggi dan menjadikan ia sebagai satu cabaran untuk si suami meningkatkan diri sendiri menjadi lebih baik.
Sekadar info, kajian yang dikongsikan itu merujuk kepada pasangan di Amerika Syarikat dan bukannya di negara kita, jadi mungkin kerana itu banyak pihak yang kurang setuju dengan kajian terbabit.