Kontroversi mengenai kelab komedi Crackhouse masih lagi belum berakhir meskipun salah seorang daripada ahli stand-up komedi telah ditahan polis akibat lawaknya yang didakwa telah menghina agama Islam.
Terkini, kelab komedi yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu telah dilaporkan disimbah cat berwarna hitam dan merah yang turut terkena pada bahagian pintu utama sebuah bank.
Susulan kejadian, polis menerima laporan daripada kedua-dua pemilik premis dan dua orang lelaki yang disyaki melakukan khianat tersebut masih lagi sedang diburu.
Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata bahawa semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua orang lelaki menaiki Proton Waja membaling dua plastik berisi cat ke arah papan tanda Crackhouse Comedy Club.
Kejadian itu dikatakan berlaku sekitar jam 4.15 hingga 5.09 pagi, dan perbuatan itu menyebabkan sebuah bank turut terkesan apabila pintu utama terkena cat hitam serta kerugian dianggarkan sekitar RM3,000.
Tambah Amihizam, siasatan awal mendapati pengadu tidak mengesyaki mana-mana pihak berkaitan kes berkenaan dan rakaman CCTV akan dihantar ke Jabatan Forensik untuk mendapatkan analisa pakar serta kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.