April 16th, 2016

Sepanjang minggu ini, “perang” antara pelakon utama Tundukkan Playboy Itu iaitu Uqasha Senrose dan Hafidz Roshdi menjadi viral di media sosial.

Isu itu menjadi panas apabila Uqasha menerusi akaun Twitter beliau menyindir kenyataan Hafidz mengenai tunangnya yang cemburu akan kemesraan mereka berdua ketika berlakon. Buat Uqasha, sikap itu agak kebudak-budakan sedangkan mereka hanya berlakon sahaja dan tidak mempunyai sebarang hubungan.

Malah, Hafidz juga ada membalas kenyataan Uqasha dan meminta agar aktres itu bersemuka dengan beliau jika ada memendam rasa tidak puas hati.

Mulai saat itu, ada sesetengah netizen yang menganggap Uqasha agak keterlaluan dalam menegur dan beliau lah yang harus dipersalahkan.

Tidak mahu terus berada di pihak yang salah, Uqasha menjelaskan sikap tidak matang Hafidz adalah punca sebenar perkara itu berpanjangan.

Saya hairan kenapa orang hanya nampak seperti saya yang menjadi punca kontroversi itu, hanya berdasarkan satu status saya muat naik. Sedangkan selepas itu dia (Hafidz) memuat naik tiga status berbeza di laman sosialnya dengan ayat yang agak kasar bunyinya.

Dia sepatutnya lebih matang dalam menangani situasi ini. Pada saya, tidak perlu rasanya untuk dia memberitahu mengenai perasaan cemburu tunangnya itu kepada khalayak. Ia akan lebih merumitkan keadaan dan mencalarkan reputasi tunangnya sendiri.

Mengetahui kontroversi antara mereka sudah semakin panas, Uqasha ada cuba menghubungi Hafidz untuk menyelesaikan masalah mereka, tetapi usaha beliau gagal kerana Hafidz tidak menjawab sebarang mesej yang dikirim ataupun menjawab panggilan telefon daripada Uqasha.

Kalau boleh saya tidak mahu kontroversi ini berpanjangan dan ingin menyelesaikannya secepat mungkin. Saya pernah cuba menghubunginya namun panggilan telefon tidak berjawab dan mesej yang dihantar tidak berbalas. Iyalah, saya pun nak tahu juga apa puncanya sehingga berlaku perkara seperti ini.

Dasyat juga masalah antara Uqasha dan Hafidz, malah kedua-duanya telah memadam foto mereka bersama daripada Instagram masing-masing. Kalau salah seorang sudah mengalah dan cuba selesaikan masalah, apa salahnya untuk bertolak ansur bukan? Benda boleh settle..

Sumber Berita : BH ONLINE


Comments are closed.

Loading...