Isu tentang status Twitter Sharnaaz Ahmad yang dikatakan menyindir Fattah Amin agak hangat diperkatakan minggu ini. Gara-gara  kata-kata pedas Sharnaaz, beliau menerima kritikan daripada netizen yang menganggap luahan beliau itu agak kasar dan tidak profesional.
Menjawab segala persoalan, Sharnaaz memberitahu status itu bukan ditujukan kepada Fattah dan beliau juga tidak menyebut secara langsung nama pelakon itu. Buat Sharnaaz, jika ada yang terasa dengan kata-kata beliau, itu adalah hak mereka.
Saya tak ada nak komen sangat tentang luahan yang saya buat di Twitter itu. Cuma saya naik rimas apabila nama saya dipetik dalam perkara yang tidak ada kena mengena dengan diri saya.
Sejujurnya saya tak kisah kalau siapa-siapa nak petik nama saya tapi bila membabitkan dan menghina bakal isteri dan keluarga saya, itu yang buat saya rimas. Saya memang tak ada masalah dengan sesiapa dalam bidang ini tapi tak sangka begini pula jadinya.
Sharnaaz berkata, artis berkenaan sepatutnya menasihati peminat fanatiknya untuk tidak terlalu celupar dalam memberikan komen di media sosial. Tambah beliau lagi, beliau bukanlah seorang yang suka untuk mencari pasal tetapi bak kata pepatah, sarang tebuan jangan dijolok.
Hanya satu saja saya nak cakap, kalau rasa diri awak tu maksum sangat, tolonglah bagi tahu peminat awak supaya jaga mulut. Dia ada mulut cakaplah pada peminat suruh diam. Entahlah mungkin dia takut populariti jatuh bila tegur peminat.
Tunggu sajalah lima tahun lagi, jangan rasa diri tu hebat sangat. Saya juga sebenarnya tak suka kacau orang tapi kalau orang buat hal dengan saya, mestilah saya bersuara. Saya tak kisah kalau orang nak kata saya mulut apa kerana kata-kata saya itu kerana selama ini pun dah macam-macam orang kata.
Industri hiburan Malaysia kecil dan agak tidak seronok jika ada yang tidak berpuas hati antara satu sama lain. Mungkin Sharnaaz dan artis berkenaan boleh bertemu empat mata dan menyelesaikan perkara ini dengan cara yang lebih berhemah.