Biarpun kini kita sudah di zaman moden, masih ramai lagi ibu selepas bersalin mengamal amalan berpantang seperti yang dilakukan oleh orang-orang lama.
Amalan berpantang sebenarnya adalah mengikut petua orang lama dan perkara itu boleh dibuat untuk ibu bersalin asalkan tidak memudaratkan kesihatan badan ataupun melanggar hukum Islam.
Dalam pada masa yang sama, dapat dilihat juga ramai doktor serta pakar sakit puan berkongsikan ilmu untuk wanita berpantang di media sosial tetapi tidak semua mengambil endah kerana dianggap ‘terlalu moden’ untuk diikuti dan melanggar petua lama.
Baru-baru ini, di Facebook seorang individu telah berkongsikan senarai pantang larang yang perlu dilakukan untuk wanita baru bersalin.
Perkongsiaan tersebut menjadi tular kerana ramai berpendapat caranya itu tidak disyorkan serta tidak bersetuju dengannya.
Antara pantang larang yang di senaraikan adalah seperti pantang setahun, pantang ‘bersama’ dengan suami, mandi air sejuk, menggunakan aircond, mengangkat benda berat selain bayi sendiri dan juga terkena air hujan.
Malah, dari segi pemakanan pula, individu tersebut berkata dalam tempoh setahun selepas melahirkan bayi, si ibu dilarang untuk mengambil minuman berais, laksa serta pulut.
Kebanyakkan wanita moden berpendapat senarai pantang larang itu hanya akan membuat si ibu berasa tertekan dan tidak menikmati proses berpantang yang sepatutnya.