Penyanyi lagenda, Datuk Zainal Abidin khabarnya turut menerima tempias bencana banjir apabila dia mendedahkan bahawa kesemua kenderaannya rosak teruk manakala separuh kediamannya yang terletak di sekitar Sri Muda turut ditenggelami air bah.
Ujar Zainal, dia sama sekali tidak menyangka hujan lebat selama beberapa hari membuatkan dia dan rakyat yang lain menerima bencana yang cukup dahsyat seperti ketika ini.
Meskipun diuji dengan kehilangan serta kerosakan harta benda, Zainal bersyukur kerana dia tidak mengalami kerugian yang begitu dasyat jika dibandingkan dengan mangsa-mangsa banjir yang lain.
Rumah saya tidaklah rosak teruk,sedikit harta benda di bahagian bawah, semua kereta saya ditenggelami air. Tapi oleh kerana saya mempunyai sahabat dan kaum keluarga, jiran yang baik dan banyak membantu.
Katanya lagi, apa yang terjadi adalah ujian daripada Allah S.W.T sebagai tanda sayang kepada setiap hamba-hambaNYA.
Kita haruslah tabah dan bertawakal kepada Allah. InsyaAllah yang terburuk adakalanya akan bertukar menjadi yang terbaik.
Sekadar info, selain Datuk Zainal Abidin, antara insan seni yang turut terjejas banjir adalah seperti penyanyi Yantzen, pelawak Ebby yang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila rumah yang masih dalam pembinaan lenyap dibawa arus banjir.