Pelakon jelita Emma Maembong baru sahaja melahirkan anak keduanya empat hari lepas namun video yang dimuat naik di TikTok mengundang kebimbangan ramai netizen.
Rakaman itu mempamerkan suasana ketika majlis aqiqah serta cukur jambul buat anaknya itu di mana Emma sekeluarga dilihat sedondon menggayakan persalinan serba biru.
Bagaimanapun, aksi Emma mendukung anak pertamanya, Shariq Gabriel yang berusia 2 tahun membuatkan ramai seriau kerana dia masih dalam tempoh berpantang.
Apatah lagi aktres berusia 31 tahun itu dilihat bersahaja malah turut bersila serta meriba Shariq ketika majlis tersebut berlangsung.
Rata-rata netizen yang bimbang sempat meninggalkan komen dan menegur Emma kerana dikatakan seperti tidak berpantang dengan sepatutnya.
Bukan itu sahaja, tindakannya duduk bersila juga turut membuatkan ramai risau dan bertanya tentang jahitan selepas bersalin.
Emma bagaimanapun sempat membalas komen tersebut dan menyatakan rasa syukur kerana kedua-dua pengalaman bersalinnya tidak mengalami koyak dan tidak perlu dijahit.