Ramai orang menganggap bahawa ketuhar gelombang mikro atau microwave hanya dapat digunakan untuk memanaskan makanan.
Sebenarnya, sebuah microwave mempunyai banyak fungsi lain yang mungkin ramai tidak ketahui.
Berikut adalah fungsi lain microwave yang mungkin anda boleh gunakan selepas ini.
Melembutkan roti
Bagi yang suka simpan roti dalam peti sejuk, roti mungkin akan menjadi keras dan tidak sedap untuk dimakan dan rasanya pun akan berubah.
Apa yang anda boleh lakukan adalah bungkus roti dengan tisu dapur yang direnjiskan dengan air, lalu panaskan dalam microwave selama 30 saat. Roti yang keras akan menjadi lembut dan segar.
Membuat kentang bakar
Microwave juga boleh digunakan untuk membakar kentang. Menurut Wikihow, anda boleh membuat kentang bakar dengan cara tusukan kentang dengan garpu, taburkan garam dan perasa makanan pilihan anda dan letakkan kentang di atas pinggan yang tahan haba.
Masukkan kentang, tunggu antara 8-12 minit untuk memasak. Kentang pun siap dimakan.
Mencairkan makanan beku
Proses ini lebih dikenali sebagai proses nyahbeku atau defrost. Bahan makanan yang disimpan dalam peti sejuk beku memang memerlukan masa agak lama untuk dicairkan tetapi dengan microwave ia boleh dilakukan dalam tempoh singkat.
Mengupas buah
Microwave juga boleh digunakan unruk mengupas beberapa jenis buah. Buah-buahan seperti labu, sengkuang, epal boleh dikupas dengan mudah dengan memanaskannya dalam suhu rendah selama tiga minit.
Kulitnya akan menjadi lembut dan memudahkan anda mengupas kulitnya tanpa merosakkan isinya.
Steril sudu dan garfu
Tahukah anda, microwave sebenarnya dapat membantu mensterilkan alatan seperti sudu dan garfu. Ini sangat berguna bagi yang mempunyai bayi atau ingin lebih berhati-hati ketika menggunakan alatan itu.
Sebelum memasukkan alatan itu ke dalam microwave, pastikan sudu dan garfu anda diperbuat daripada material atau bahan yang tahan suhu tinggi agar tidak rosak.
Caranya, masukkan sudu dan garfu ke dalam bekas berisi air dan putarkan selama dua minit. Dengan cara ini, ia boleh membunuh bakteria yang mungkin melekat pada alatan itu.
Rangupkan makanan ‘masuk angin’
Makanan ringan seperti keropok yang terdedah akan menjadikan ia lemau atau masuk angin. Tetapi dengan memanaskannya dengan microwave selama dua minit dapat mengembalikan tekstur ranggupnya.
Memasak nasi
Anda juga boleh memasak nasi dengan menggunakan microwave. Menurut Steamy Kitchen, cara-caranya ialah masukkan beras ke dalam bekas selamat gelombang mikro, kemudian basuh beras seperti biasa dan masukkan jumlah air yang betul.
Tunggu selama 5 minit dengan suhu tinggi. Kemudian, 15 minit pada kuasa 50% dan biarkan ia rehat selama 5 minit.
Jangan lupa cuba!