Semalam sebuah insiden nahas jalan raya telah menyaksikan seorang kanak-kanak perempuan menemui ajal setelah tercampak keluar dari kereta yang dipandu bapanya seperti laporan Kosmo Online.
Kemalangan itu dilaporkan berlaku setelah kereta yang dinaiki mereka sekeluarga terbabas di Kilometer 340.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan.
Dalam kejadian tersebut, mangsa N.Ashvika,11 difahamkan telah mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Perkara tersebut turut disahkan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismain yang memaklumkan mangsa bersama ibu dan bapa serta dua adik perempuannya sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Selangor.
Kereta jenis Nissan Almera itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi pembahagi jalan di manan mangsa yang duduk di belakang telah tercampak keluar melalui cermin belakang dan disahkan meninggal oleh petugas kesihatan.
“Kemalangan itu dipercayai turut menyebabkan adik mangsa berusia 6 tahun patah tangan dan kaki kiri. Ibu dan bapa serta seorang lagi adik mangsa berusia 10 tahun tidak cedera.” ujarnya lagi.
Menjengah ke media sosial, netizen turut meluahkan rasa simpati dan kebanyakannya mula menyedari tentang kepentingan tali pinggang keledar untuk penumpang di belakang kereta.
Ramai yang menasihatkan agar untuk pemandu kenderaan sentiasa mengamalkan ‘seatbelt’ penumpang belakang kerana sesungguhnya, malang itu tidak berbau.