Selepas teruk dihentam sehingga dilabel liberal gara-gara memuat naik hantaran tentang konsert Hrithik Roshan, Uqasha Senrose bertindak memadamnya.
Pelakon itu turut memohon maaf dan mengaku kekhilafannya selepas dituduh tidak sensitif dengan situasi melanda Palestin ketika ini.
Uqasha turut berterima kasih kepada warganet yang menegurnya namun katanya dia tidak boleh menghalang jika ada pengikut yang sudah ‘unfollow’ di Instagram.
Isteri kepada Kamal Adli itu turut menegaskan dia serta keluarga merupakan pro Palestin dan kerap berkongsi hantaran tentang konflik yang sedang berlaku namun ia dipadam oleh Instagram.
Saya bukan liberal, bukan neutral. Saya nak perbetulkan di sini ada yang kata saya tak guna media sosial untuk sebar tentang Palestin. Setiap hari saya post, tapi dipadam oleh pihak Instagram.
Perlu ke saya bagitahu semua orang posting saya kena padam? Bila saya kongsi tentang Hrithik Roshan, terus dicop tidak sensitif.
Dalam pada itu, pelakon berusia 31 tahun tersebut turut berkata dia rasa seperti dibuli dengan komen-komen warganet hanya kerana dia terlepas pandang tentang hal berkenaan.
Saya teralpa sekejap mungkin kerana saya terlampau minat Hindustan, saya teruja. Manusia tak lepas daripada buat kesilapan.