Tak sampai empat bulan berkhidmat dan menyandang jawatan sebagai Perunding Kreatif dan Setiausaha Kebudayaan untuk Kementerian Luar Negeri, khabarnya kontrak Datuk Seri Eizlan Yusof dan Ahmad Idham telah ditamatkan.
Perkara tersebut juga telah disahkan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang memaklumkan bahawa jawatan kedua-dua figura ini telah digugurkan sekitar 24 jam yang lalu, seperti laporan Sinar Daily.
Namun begitu, ketika ditemui media, Saifuddin enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dan tidak menerangkan mengapa serta sebab pengguran itu dibuat.
Manakala Ahmad Idham yang ditemui Harian Metro memberitahu bahawa dia ambil maklum mengenai surat pemberhentian kontrak namun masih tertanya-tanya punca dia diberhentikan.
Jujurnya, saya sendiri masih tercari-cari punca dan alasan diberhentikan. Saya tak tahu langsung kerana tidak diberikan penjelasan.
Sementara itu, muncul desas-desus sebelum ini yang mengatakan kedua-dua selebriti ini bakal bertanding di Pilihan Raya Umum ke-15 nanti di bawah kepimpinan Bersatu.
Difahamkan juga Ahmad Idham dan Eizlan Yusof bakal mengadakan sidang media pada hari ini bagi menjelaskan perkara sebenar kerana enggan melibatkan tohmahan dan fitnah lain yang melibatkan parti politik.