Pelakon sensasi Rita Rudaini kini perlahan-lahan mengorak langkah dengan meneroka dunia perniagaan. Bidang yang tidak pernah terfikirkan selama ini, namun ia sudah menjadi cinta barunya.
Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini binti Mokhtar memulakan perniagaan menerusi beberapa produk sendiri termasuk minyak wangi jenama Crush yang dilancarkan sejak dua tahun lalu.
Menurut pelakon Mami Jarum itu, pembabitannya dalam bidang perniagaan memberikan satu lagi perspektif baru buat dirinya dalam terus memajukan diri selain menjadikan ia sebagai jaminan masa depan.
Lagi pula, pada usia sekarang saya tidak boleh lagi terus berharap pada satu bidang semata-mata. Kerjaya lakonan saya sekarang tidak lagi seperti dulu. Kalau zaman masih muda, bolehlah kerja dari pagi sampai ke pagi esoknya dan ambil banyak tawaran.
Disebabkan itu, Rita mengambil langkah berani dan keluar dari kepompong itu. Dia berkata dia perlu betul-betul fokus dan tekadkan diri sehinggalah akhirnya.
Bagaimanapun, Rita berkata pembabitan dalam bidang perniagaan itu bukan bermakna dia memberi titik noktah pada kerjaya seni.
Saya masih mendapat tawaran berlakon. Cuma, apabila saya terjun dalam bidang perniagaan, saya perlu beri sedikit keutamaan.
Malah, Rita meluahkan rasa syukur apabila minyak wangi itu masih menjadi pilihan pengguna biarpun negara masih dalam suasana pandemik Covid-19.
Jangan lupa ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.