Pelakon dan juga usahawan, Datin Fouziah Gous,39, nampaknya tidak ketinggalan bagi menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa yang terkandas dalam kereta akibat bencana banjir yang melanda negara, hujung minggu lalu.
Fouziah yang dihubungi media memaklumkan bahawa kebanyakan mereka yang terperangkap dalam kereta di laluan lebuhraya adalah golongan berusia dan bukan berasal dari Ibu Kota.
Perkara itu telah membuatkan aktres itu berasa sungguh sedih kerana mereka tidak tahu kemana untuk pergi akibat terkandas.
Ramai golongan tua yang terkandas ini kerana pada hujung minggu mereka sudah biasa menghadiri kenduri dan sebagainya.
Saya mengetuk pintu kereta sekitar jam 12 tengah malam sehingga 5 pagi untuk memberikan makanan dan sedikit informasi buat mereka.
Dia dalam pada itu turut memuji sikap rakyat Malaysia yang amat mulia dan tidak putus-putus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas.
“Apa yang boleh saya puji rakyat Malaysia memang sangat bagus dan terkesima juga dengan kemuliaan hati semua. Betul, yang betul-betul hendak membantu rakyat adalah rakyat sendiri.” katanya lagi.
Fouziah juga sempat memberi pesanan kepada orang ramai agar tidak menyebarkan informasi yang salah kepada masyarakat kerana ia mungkin akan mendatangkan masalah kepada pihak yang ingin melakukan kerja amal dan urusan pemberian bantuan.